Anda di sini

Sheila Majid di Festival Jazz Kuching Waterfront, esok

Advertisement
__alt__

KUCHING: Muzik jazz akan bergema di bandaraya Kuching bermula 29 hingga 30 September ini sempena Festival Jazz Kuching Waterfront (KWJF) yang diadakan di Grand Margherita Hotel di sini.

 Festival yang julung kali diadakan itu akan menampilkan sejumlah 17 pemuzik dan band jazz yang diiktiraf dari seluruh rantau ini.

 Antaranya ialah Datuk Sheila Majid (Malaysia), Ernie Watts (USA), Jeremy Monteiro (Singapura), Kunto Aji (Indonesia) dan Shanghai Sisters (Malaysia).

 Datuk Sheila Majid, yang dikenali sebagai Queen of Jazz Malaysia, telah berada di arena jazz Malaysia dan antarabangsa selama lebih dari 30 tahun.

 Beliau pertama kali mencipta kejayaan dengan lagu ‘Sinaran’ pada 1986 dan lagu tersebut masih menjadi kegemaran malar hijau hingga ke hari ini.

 Beliau mencapai kemasyhuran antarabangsa apabila memenangi Anugerah BASF Indonesia yang berprestij untuk Artist Perempuan Terbaik dalam kategori R & B pada tahun 1987, yang tidak pernah dilakukan oleh orang bukan Indonesia.

 Kejayaan beliau di Indonesia itu diikuti dengan konsert jelajah ke seluruh negara pada tahun 1988 yang mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.

 Sheila kemudiannya melebarkan sayapnya ke Jepun dengan melancarkan albumnya berjudul ‘Warna’ pada tahun 1988.

 Semenjak itu, Sheila sering muncul di banyak pentas dunia dan memenangi pelbagai anugerah menerusi beberapa buah lagu yang dinyayikannya.

 Ernie Watts, yang digelar sebagai peniup saksofon tenor sepanjang masa, adalah seorang pemuzik jazz Amerika dan pemain saksofon yang serba boleh dan kreatif dalam seni muzik.

 Bermula pada usia 13 tahun, peniup saksofon ini telah memenangi Anugerah Grammy dan telah memainkan jazz secara profesional selama 50 tahun di seluruh dunia.

 Beliau telah mengadakan kolaborasi 500 rakaman dengan artis yang berlainan dan bahkan pernah bermain di soundtrack fi lem untuk hits yang terkenal seperti ‘Grease’ dan ‘The Color Purple’.

 Beliau mempunyai 23 album yang mana lapan daripadanya dirakamkan di bawah label syarikat rakamannya sendiri iaitu Flying Dolphin Records.

 Pada festival kali ini, Ernie akan membuat persembahan bersama Jeremy Monteiro Organ Trio.

 Jeremy Monteiro dianggap sebagai salah seorang pemain piano jazz terkemuka di Asia dan telah dirujuk sebagai King of Swing Singapura oleh media.

 Beliau telah berkecimpung selama 40 tahun menjadi seorang pemuzik jazz profesional dan mempunyai lebih daripada 20 album jazz.

 Jeremy Monteiro akan tampil dalam dua sesi berasingan dengan Trio Organ dan Ernie Watts serta Kuasa Kuasa Asia All Stars yang menampilkan Melissa Tham, keduaduanya menjanjikan acara yang menarik.

 Antara pemuzik dan band lain yang akan tampil bersama pada KWJF nanti adalah Kunto Aji (Indonesia), Shanghai Sisters (Malaysia), Abdul dan Teater Kopi (Indonesia), Balawan Magic Fingers (Indonesia), Mellow Motif (Thailand), Andy Peterson Malaysia) dan banyak lagi.

 Selain KWJF diharap dapat menjadi platform untuk memberi inspirasi dan memupuk bakat muzik tempatan di sini.

 Untuk maklumat lanjut, layari www.kuchingwaterfrontjazz.com.

 Pakej hotel dan tiket KWJF juga boleh dibeli secara online di laman sesawang atau di Grand Margherita Hotel, Riverside Majestic Hotel atau Place Borneo Sdn Bhd.

 Untuk maklumat terkini, sila cari Kuching Waterfront Jazz di Facebook dan Instagram.

 Hubungi + 6082- 555189 atau e-mel ke kuchingwaterfrontjazz@ gmail.com.

Advertisement