Anda di sini

Tiga wanita mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki harta curi

Advertisement

MIRI: Tiga wanita masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan memiliki harta curi.

Elizabeth Maureen May dan Suria Bill, kedua-duanya dari Desa Senadin di sini dan Corlina Jaidu dari Sungai Tebelian, Sibu telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah dituduh dengan curang menyimpan atau memiliki harta curi iaitu pelbagai jenis alat ganti kenderaan kepunyaan majikan mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 11.30 pagi, 9 Ogos lalu di pekarangan Balai Polis Pusat Miri di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah ketiga-tiga tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 11 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Manakala kesemua tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan masing-masing RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga asing didenda RM2,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pagi semalam kerana kesalahan menyimpan sebuah pasport curi.

Hukuman itu dijatuhkan Penolong Kana Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Nizam Adam, 35, dari Sulawesi, Indonesia telah dituduh dengan curang menerima atau menyimpan harta curi iaitu sebuah pasport Filipina kepunyaan Rowel David Millado.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.05 petang, 1 September lalu di hadapan sebuah kedai di Desa Indah 2, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement