Anda di sini

Sarjan balai polis mengaku tidak bersalah terima suapan RM6,500

Advertisement
 Harjinder mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,500 daripada seorang penjual mercun dan bunga api, dua tahun lepas. — Gambar Bernama
TIDAK MENGAKU SALAH: Harjinder mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,500 daripada seorang penjual mercun dan bunga api, dua tahun lepas. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,500 daripada seorang penjual mercun dan bunga api, dua tahun lepas.

Harjinder Singh Saudagar Singh, 53, yang bertugas sebagai Sarjan Pentadbiran Balai di Balai Polis Kota Tinggi didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai sebanyak RM4,000 daripada Mohd Fairus Norani di Balai Polis Kota Tinggi, kira-kira 10 malam, 26 Jun 2015, sebagai dorongan melepaskan dua pekerja Mohd Fairus yang disyaki menjual mercun dan bunga api.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima rasuah masing-masing wang tunai RM500 dan RM2,000 daripada Mohd Fairus sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas perniagaan menjual mercun dan bunga api milik lelaki itu.

Pertuduhan kedua dilakukan di alamat nombor 2, Jalan Kota Kecil, Kota Tinggi, kira-kira 3.20 pagi, 17 Julai 2015 dan pertuduhan ketiga di sebuah restoran di Jalan Mangga 1, Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, pada 10.30 malam, 18 Julai 2015.

Ketiga-ketiga pertuduhan adalah di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsyarina Raizan dan beliau menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya pula memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan menanggung tiga anak yang masih belajar selain isteri yang tidak bekerja.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 24 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement