Anda di sini

Saman Nik Nazmi terhadap bekas Peguam Negara, kerajaan dibicarakan

Advertisement

PUTRAJAYA: Saman dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan Malaysia berhubung pendakwaan berniat jahat susulan penahanannya sebanyak dua kali bagi kesalahan sama, akan dibicarakan pada 16 dan 17 Okt.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan semalam menolak rayuan Abdul Gani dan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Mei tahun ini yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman Nik Nazmi.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Hakim  Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan mewakili Abdul Gani dan kerajaan dan peguam Syahredzan Johar bagi pihak Nik Nazmi.

“Kami sebulat suara. Kami menolak rayuan tanpa mengeluarkan perintah berkaitan kos,” kata Hakim Umi Kalthum.

Di luar mahkamah, Syahredzan memberitahu pemberita dengan keputusan itu, perbicaraan akan berlangsung pada 16 dan 17 Okt di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. — Bernama

Advertisement