Anda di sini

Program ‘Jom Ke Persemadian Pahlawan Rentap’ dapat sambutan

Advertisement
 Puluhan kenderaan pacuan empat roda digunakan oleh para peserta untuk pergi ke Tugu Peringatan Pahlawan Rentap.
MENDAKI: Puluhan kenderaan pacuan empat roda digunakan oleh para peserta untuk pergi ke Tugu Peringatan Pahlawan Rentap.

WALAUPUN buat julung kali diselitkan sebagai salah satu daripada pelbagai aktiviti sempena Pesta Pakan 2017 ternyata Program ‘Jom Ke Persemadian Pahlawan Rentap’ mendapat sambutan yang amat baik.

Ini terbukti dengan kehadiran lebih 300 penduduk tempatan dan ada juga yang datang dari daerah Julau menyertai program tersebut yang diketuai oleh Ahli Parlimen P.209 Julau Datuk Joseph Salang Gandum, baru-baru ini.

Ketibaan Salang disambut dengan ‘taboh’ Iban dan diikuti dengan upacara miring yang diketuai oleh ‘lemambang’ veteran, Tuai Rumah Kedit Chundang dari Sungai Buloh, Kemalih, Julau yang dijemput khas bagi upacara tersebut dan juga ‘bebiau’.

Selesai saja upacara miring rombongan Salang yang terdiri daripada Pegawai Tadbir Sarawak Yalin Asan yang mewakili Pegawai Daerah Pakan, Ketua Polis Daerah Julau DSP Bidol Noeng, Pemanca Tekong Renggie, Penghulu Wilfred Ullie Sila, Penghulu Clement Nisau dan orang ramai kemudiannya memulakan pendakian ke Tugu Peringatan Pahlawan Rentap yang terletak di kemuncak Bukit Sibau dengan diiringi oleh paluan taboh.

 Sebahagian ahli-ahli PRS Cawangan Pakan yang menyertai Program Jom Ke Persemadian Pahlawan Rentap.
TURUT SERTA: Sebahagian ahli-ahli PRS Cawangan Pakan yang menyertai Program Jom Ke Persemadian Pahlawan Rentap.

Upacara miring dan bebiau sekali lagi diadakan di tapak Tugu Peringatan Pahlawan itu sebelum Salang diberi penghormatan untuk membuka tutup keranda yang menempatkan rangka tulang mendiang Rentap yang nama sebenarnya Libau.

Orang ramai terutamanya yang pertama kali menziarahi tugu peringatan itu berebut-rebut mengambil peluang untuk melihat rangka tulang mendiang dengan lebih dekat lagi.

Beberapa orang yang ditemu bual melahirkan pelbagai pendapat mengenai Tugu Peringatan Pahlawan Rentap yang pembinaannya diilhamkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan dirasmikan oleh beliau sendiri pada 28 Oktober 1989.

Lemambang Kedit yang sudah dua kali dijemput untuk upacara miring dan bebiau di tugu peringatan itu berkata, sekeliling pondok utama patut dipagar dengan jeriji besi bagi menjamin keselamatan rangka tulang mendiang dan juga barang-barang lama yang ada di situ.

“Memandangkan tugu peringatan tersebut semakin popular dan sentiasa dikunjungi para pelawat, pihak Jabatan Muzium sepatutnya lebih prihatin dengan keselamatan apa juga yang ada di situ. Kos untuk memasang jeriji besi adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan nilai-nilai perjuangan mendiang Rentap dalam membangkitkan semangat patriotik untuk menentang penjajah,” tegas beliau.

Tuai Rumah Kadam Tajak pula berkata, pihak Jabatan Muzium patut menyalurkan peruntukan untuk memotong rumput dan membersihkan kawasan tugu peringatan, tempat letak kereta dan juga lorong berjalan kaki sekurang-kurangnya sekali untuk tempoh tiga bulan.

“Untuk program ini, kami terpaksa membelanjakan RM1,000 bagi membayar upah mereka yang membaik pulih beberapa tempat di sepanjang jalan ke Bukit Sibau, memotong rumput dan juga membersihkan kawasan tugu peringatan.

“Selama ini pun kerja-kerja tersebut hanya dibuat sekiranya ada program diadakan di tugu peringatan itu. Kalau dua atau tiga tahun program tidak diadakan, Tugu Peringatan Pahlawan Rentap akan terbiar begitu saja,” kata beliau dengan nada suara yang menggambarkan rasa kesal dan sedih.

  • oleh
  • Advertisement