KUANTAN: Seorang pembantu pendaftar Mahkamah Syariah Pekan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam daripada pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,500 tiga tahun lepas.
Hakim Siti Aminah Ghazali melepaskan Mohd Kahar Arshad, 48, daripada pertuduhan ke atasnya setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mohd Kahar sebelum ini didakwa menerima rasuah itu daripada seorang pembantu tadbir Hurul-Ain Hanafi pada jam 4.20 petang, 28 Mei 2014 di Restoran D’Oasis, Jalan Putra Square, di sini.
Mengikut kertas pertuduhan wang itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh membatalkan perkahwinan Hurul-Ain, 31, dengan suaminya Mohamad Zaki Ahmad Ghazali, 38, yang bernikah di Aceh, Indonesia yang dikatakan tidak sah selepas sijil pernikahan mereka dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Thailand.
Tertuduh ditangkap pada 28 Ogos 2014 selepas Hurul-Ain membuat laporan pada 27 Ogos 2014. — Bernama