Anda di sini

Pemandu lori didenda RM4,000, penjara 2 bulan rotan anak OKU

Advertisement

SHAH ALAM: Gara-gara merotan anak sulungnya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dua bulan lepas, seorang pemandu lori semalam dikenakan denda RM4,000 dan dua bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Hakim Mohd Sabri Ismail memerintahkan hukuman penjara berkuatkuasa dari tarikh tertuduh pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 25 Ogos lepas, dan turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa menyebat anak lelakinya yang berusia tiga tahun, dua bulan menggunakan rotan di bahagian dahi, badan bahagian belakang dan hadapan serta kedua-dua belah kaki kiri dan kanan di sebuah pangsapuri di Seksyen 26 di sini, kira-kira 1.30 petang pada 20 Julai lepas.

Lelaki berusia 30 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian bekas isteri tertuduh telah meninggalkan mangsa di rumah tertuduh untuk membawa anak perempuannya berusia 10 bulan ke klinik.

Sekembalinya dari klinik, bekas isteri tertuduh mendapati mangsa menangis tersedu-sedu manakala tertuduh sedang menyapu krim di badan mangsa dan lelaki itu memberitahu bekas isterinya bahawa dia telah merotan mangsa kerana bermain dengan telur ayam di dalam peti sejuk.

Bekas isteri tertuduh kemudian membawa mangsa ke Hospital Shah Alam dan doktor di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan mendapati terdapat kesan lebam di bahagian depan dan belakang badan mangsa serta kesan lebam di bahagian tangan, kaki dan muka kanak-kanak itu.

Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan kanak-kanak OKU kategori masalah pembelajaran.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan ketika kejadian dia berada dalam keadaan tertekan kerana baharu bercerai dengan isteri dan telah menyesal atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Naliatul Huzaimi Ab Rasip yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya ke atas tertuduh yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. — Bernama

Advertisement