Anda di sini

11 artis meriahkan konsert khas Panggung Anniversari, Sabtu ini

Advertisement
__alt__

KUALA LUMPUR: Pentas Panggung Anniversari di Taman Botani, Tasik Perdana di sini yang pernah melahirkan bintang hiburan pada era 1970-an dan awal 1980-an bakal digegarkan oleh barisan penyanyi tanah air, pada hari Sabtu ini.

Konsert percuma yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun Panggung Anniversari ke-50 itu akan menampilkan penyanyi terkenal seperti Datuk DJ Dave, Datuk M. Nasir, Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Awie, Datuk Zainal Abidin, Zamani Slam, Siti Sarah, Khalifah Band, Khai Bahar, Azharina dan MASDO.   

Persembahan pentas yang dijadual bermula jam 8.30 malam itu adalah anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Yayasan Artis 1Malaysia dan Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur (DiverseCity) 2017.

Pengurus Besar Biro Pelancongan Kuala Lumpur Khairul Anuar Mhd Juri berkata konsert istimewa yang akan diiringi Orkestra Kuala Lumpur dan Kumpulan Kesenian DBKL itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 5,000 penonton. 

“Selain berhibur, kami mengharapkan agar nostalgia pentas yang cukup terkenal pada satu masa dahulu dapat dihidupkan semula dan dikenali umum khususnya golongan muda,” katanya pada sidang media konsert tersebut di sini, kelmarin.

Khairul Anuar berkata DBKL menyediakan perkhidmatan van perantara dari  Dataran Merdeka (hadapan KL City Gallery) dan Padang Merbok setiap 5 minit dan pengunjung juga boleh meletakkan kenderaan mereka secara percuma di ruangan parkir bertingkat yang terletak berhampiran Panggung Anniversari. — Bernama

Advertisement