Anda di sini

Pilihan raya Jepun dijangka Okt

Advertisement

TOKYO: Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe semalam mengumumkan pilihan raya mengejut dalam usaha meraih penggal baharu sebagai peneraju ekonomi ketiga terbesar di dunia ketika ketegangan dengan negara jiran Korea Utara memuncak.

Abe berharap untuk meraih kelebihan berbanding pembangkang yang lemah dan berpecah untuk kembali merangkul kuasa, ketika tinjauan pendapat menunjukkan prestasinya kembali meningkat selepas siri skandal.

“Saya akan memansuhkan Dewan Rakyat pada 28 September,” kata Abe kepada wartawan, satu langkah awal ke arah pilihan raya umum.

Beliau tidak memberikan tarikh pengundian tetapi dilaporkan memilih 22 Oktober.

Menurut tinjauan pendapat hujung minggu dalam harian perniagaan Nikkei, 44 peratus pengundi merancang untuk memilih parti konservatif Abe Parti Demokrat Liberal (LDP), manakala cuma lapan peratus memilih pembangkang utama Parti Demokratik.

Namun satu perlima masih berdiri di atas pagar, sekali gus membuka peluang kepada parti baharu yang dibentuk sekutu datuk bandar popular Tokyo Yuriko Koike yang akan memaparkan puluhan calon.

Parti Tomin First no Kai (Warga Tokyo Diutamakan) pimpinan Koike memalukan Abe dan LDP dalam pilihan raya tempatan pada Julai.

Dalam cubaan menarik sorotan daripada Abe, Koike berdepan dengan kamera hanya beberapa jam sebelum pengumuman tersebut untuk mengisytiharkan bahawa beliau telah mewujudkan parti politik nasional Kibo no To (Parti Harapan).

“Jepun berdepan masa sukar berikutan situasi di Korea Utara.

“Dari segi ekonomi, dunia sedang melangkah maju tatkala kehadiran Jepun semakin merosot,” kata Koike.

“Mampukah kita untuk terus membiarkan mereka menguruskan politik?”

Pemenang pilihan raya berdepan timbunan cabaran seperti krisis tidak dijangkakan dengan Korea Utara dan menghidupkan semula ekonomi yang begitu dikagumi suatu masa dahulu.

Selain mengancam untuk memusnahkan Jepun, Pyongyang telah melepaskan dua misil melepasi pulau utara Hokkaido dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Sekiranya dilantik semula, Abe akan merangkul penggal keempat sebagai generasi ketiga sebuah keluarga politik yang berkuasa.

Beliau dipupuk untuk memegang kuasa sejak kecil lagi dan merupakan perdana menteri paling muda memerintah Jepun ketika pertama kali merangkul penggalnya.

Abe juga pemimpin dunia pertama membentuk hubungan rapat dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, bertemu hartawan terbabit di Trump Tower sebelum pertabalannya sebagai presiden. — AFP

Advertisement