Anda di sini

Menjual kraf Sarawak merentasi sempadan

Advertisement
 Danielle menunjukkan sebahagian daripada hasil manik yang sudah siap dan sedia untuk dijual kepada pelanggannya.
MINAT: Danielle menunjukkan sebahagian daripada hasil manik yang sudah siap dan sedia untuk dijual kepada pelanggannya.

KEUNIKAN hasil manik dan kraf tangan dihasilkan oleh pembuat kraf di negeri ini, yang dipengaruhi budaya unik etnik-etniknya, menjadikan ia istimewa dan ingin dimiliki oleh sesiapa juga yang melihatnya.

Namun untuk memilikinya, terutama yang asli anda perlu datang ke Sarawak, memijak Bumi Kenyalang untuk melihat sendiri dan membuat pilihan.

Tetapi itu dahulu, sepuluh tahun yang lalu atau paling kurang lima tahun lalu. Kini, dunia berubah dengan pantas, sepantas anda menghantar e-mel dan sepantas anda memuat naik status anda, segala-galanya hanya di hujung jari sahaja.

Sama ada menerusi komputer peribadi atau komputer riba anda di rumah mahupun

di pejabat, menggunakan telefon pintar di mana jua anda berada, anda sudah boleh memesan manik istimewa yang unik dan cantik dari Sarawak.

Bagi Danielle Lipang Lawai, 42, seorang pengusaha dan pembuat kraf tangan berasaskan manik-manik kaca di negeri ini, mengakui minatnya yang mendalam terhadap

kraf tangan ini telah mendorong beliau untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan secara atas talian atau lebih dikenali sebagai ‘online’.

Menurut beliau perniagaan secara ini banyak manfaat dan kebaikannya kerana anda tidak perlu memiliki sebuah kedai atau butik untuk mempamerkan barangan, cukuplah dengan gambar atau imej-imej kraf tangannya yang dirakamkan dengan baik dan menarik.

Langkah seterusnya kemudian hanya memuat naik gambar-gambar tersebut ke laman web atau blog milik sendiri atau laman-laman sosial anda dan seterusnya kongsikan dengan rakan-rakan.

Berasal dari Limbang, wanita berbangsa Kelabit ini memulakan perniagaannya yang berasaskan online, dari rumah dan menamakan hasil produknya, ‘RabenBeads’.

“RabenBeads telah dilancarkan secara online di aplikasi Instagram pada 2 Oktober 2014 dan seterusnya di laman sosial Facebook @rabenbeads, bagi membolehkan saya menjual dan mempamerkan hasil-hasil karya dan olahan saya di pasaran atas talian,” katanya dalam satu temu bual bersama

Utusan Borneo

di Miri. 

Semua hasil seni dan aksesori beliau akan dimuat naik di Instagram dan juga Facebook bagi memudahkan pengikut dan penggemar melihat produk-produk terkini yang dihasilkan dan dijual oleh beliau atau menempahnya.

Tempahan pula katanya, akan dihantar sama ada melalui PosLaju,  perkhidmatan kurier ataupun bas (bagi pelanggan dalam negeri Sarawak),  mengikut kehendak pelanggan dengan pembayaran dibuat secara ‘bank-in’.

“Namun tidak kurang juga yang mengambil sendiri tempahan daripada saya. Mereka hanya menempah atau memilih sesuatu produk di atas talian, namun mengambil sendiri dari saya dan membayar secara tunai.

“Golongan pelanggan ini biasanya mereka tinggal di kawasan sekitar bandar kediaman saya,” katanya yang kini menetap

di ibu negeri Kuching bersama keluarga.

Danielle memberitahu pada masa kini, kebanyakan pelanggan RabenBeads adalah orang tempatan yang terdiri daripada penggemar aksesori manik-manik kaca serta aksesori wanita berasaskan kraf. 

“Justeru RabenBeads cenderung untuk membekalkan aksesori sudah siap ini kepada pelanggan tempatan atau pasaran tempatan.

Namun begitu kita berharap agar dapat menembusi pasaran luar negara di masa akan datang,” jelas beliau.

Danielle berkata perniagaan online amat popular dan digemari oleh semua lapisan masyarakat masa kini.

Malah katanya, perniagaan online amat mudah dan tidak memerlukan premis perniagaan dan modal yang besar untuk beroperasi kerana ia boleh dilakukan dari rumah dan juga di mana-mana dan bila-bila masa.

“Selain itu, cara pemasaran sesuatu produk online adalah mudah dan senang dicapai oleh sejumlah yang besar pengikut online.

“Paling seronok anda boleh ‘bertemu’ dengan pelanggan pelbagai jenis dari seuruh negara serta pasaran yang tanpa had dan sempadan,” tambahnya sambil mengharapkan RabenBeads akan terus mendekati pelanggan luar negara untuk membolehkannya menembusi pasaran ke seluruh dunia satu hari kelak.

Justeru beliau mengakui kepentingan ekonomi digital pada hari ini dalam membantu beliau mengembangkan pasarannya bukan sahaja di dalam negara, tetapi merentasi dan melangkaui dunia ekonomi tanpa sempadan seperti hari ini, di mana penggunaan peralatan canggih digital semakin menguasai.

Bagi pengusaha

kraf tangan secara online seperti Danielle, beliau amat memerlukan sokongan pihak kerajaan untuk membantu membangunkan peniaga kecil untuk berdiri dalam perniagaan atas talian yang amat luas.

“Kerajaan perlu menambah dan menyediakan lebih banyak lagi platform yang sedia ada untuk membantu usahawan-usahawan khususnya yang kecil-kecilan seperti kami, mengetengahkan semua produk mereka.

“Sebagai contoh,

baru-baru ini Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan (MIED) Sarawak telah bekerjasama dengan BORNEOMart (1Stop Mart) untuk membantu vendor-vendor dari Sarawak memasarkan produk-produk mereka di Semenanjung Malaysia,” katanya sambil menambah jalinan kerjasama seperti itu perlu ditambah bagi memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada peniaga seperti beliau.

Di samping itu, kerajaan atau agensi-agensi yang berkaitan juga perlu menawarkan kursus ilmu digital yang sesuai kepada usahawan untuk mempertingkatkan lagi tahap pengetahuan dan selok-belok perniagaan online sepenuhnya.

Bagaimanapun, menurut Danielle,

di sebalik kelebihan dan banyak aspek yang baik mengenai perniagaan secara online ini, namun tetap ada kelemahannya.

“Perniagaan online juga ada kelemahan dan risikonya tersendiri di mana pembeli atau penjual berisiko untuk ditipu kerana masing-masing tidak mengenali individu yang berurus niaga dengan mereka.

“Selain itu, dalam bidang perniagaan kraf tangan secara online ini pula, jumlah mereka yang menceburinya, semakin hari semakin meningkat dan kita terpaksa bersaing antara satu sama lain dan terdapat juga isu ‘tiru-meniru’,” katanya lagi.

“Ini kerana, dengan mempamerkannya secara terus di atas talian, rekaan kita mudah dilihat dan ditiru oleh orang ramai khususnya pesaing-pesaing kita,” tambah beliau.

Keadaan ini, menurut Danielle memudahkan pesaing-pesaing khususnya peniaga online yang lain begitu mudah mencari inspirasi serta meniru rekaan yang sama dan seterusnya menjual rekaan tersebut kepada pelanggan mereka dengan harga yang jauh lebih murah.

 Justeru untuk memastikan RabenBeads kekal di dalam dunia perniagaan digital ini, Danielle sedar dia perlu mengekalkan kualiti dan hasil yang terbaik agar pelanggan berpuas hati dan merasakan nilai wang mereka adalah berbaloi.

“Menyedari hakikat dalam persaingan ini, RabenBeads amat mementingkan kualiti setiap produk dan rekaannya dan kita tidak akan mencampur-adukkan manik-manik kaca dengan manik-manik yang lain contohnya seperti manik seramik, resin, kristal dan sebagainya,” jelas beliau.

“Contohnya, manik-manik kaca, ia akan diolah bersama dengan jenisnya sahaja dan begitu juga sebaliknya. Ini bertujuan untuk menjaga ‘keaslian’ dan kualiti setiap rekaan yang kita buat,” tambahnya.

Menurut Danielle, bagi memastikan kualiti dan keasliannya terjamin, kebanyakan bahan asas seperti manik yang digunakan dalam pembuatan kraf tangan RabenBeads adalah diperolehi dari dalam dan juga dari negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

“Kebanyakan hasil

kraf tangan RabenBeads adalah ‘karya seni’ sendiri dan dirangkai sendiri

di mana bahan-bahan seperti untaian manik, manik bijian yang dibeli dari negara jiran, dirangkaikan semula menjadi aksesori seperti rantai, gelang tangan, anting-anting dan sebagainya,” ujar beliau.

Hari ini katanya, barangan kraf tangan dan perhiasan manik tidak lagi eksklusif atau mewakili mana-mana suku kaum, kerana penggunaannya yang semakin meluas dalam dunia fesyen dengan ciptaan semakin kotemporari.

“Kalau dulu barangan perhiasan manik ini, amat sinonim dengan kaum Orang UIu. Tetapi pada hari ini, aksesori berasaskan manik termasuk manik-manik berasaskan kaca ini amat digemari oleh fashionista dari pelbagai suku kaum, terutama mereka yang berkerjaya,” menurut beliau lagi.

“Ini kerana kualiti manik-manik kaca ini sememangnya direka mengikut tema, trend dan gaya masa kini. 

“Tidak dapat dinafikan ia amat cantik dan direka atau diolah menjadi aksesori yang kotemporari dan sesuai untuk apa jua acara dan juga dipakai sama ada ke pejabat, majlis rasmi, pakaian kegemaran anda dan sebagainya,” katanya.

Mereka yang berminat boleh menempah sama ada membuat tempahan atau menghantar melalui pesanan peribadi (PM) atau pesanan secara terus di laman sosial RabenBeads atau menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ di talian +60168134495 ataupun +60168144496.

  • oleh
  • Advertisement