Anda di sini

Lelaki didakwa atas kesalahan menceroboh sebuah rumah

Advertisement

MIRI: Gara-gara melakukan pencerobohan jenayah, seorang lelaki didenda RM2,800 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Miri semalam.

Hukuman dijatuhkan Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Sim Ming Chun, 42, dari Jalan Kuching, Taman Tunku di sini didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh melakukan pencerobohan jenayah dengan menceroboh masuk sebuah rumah di kuarters guru, Jalan Durin, Taman Tunku di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 9.09 malam, 16 September lalu.

Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan ternampak kelibat dua lelaki menceroboh masuk ke kawasan kuarters tersebut dan berjaya menangkap seorang daripada lelaki terbabit.

Ketika disoal siasat polis, tertuduh mengaku melakukan pencerobohan dengan niat mencuri kerana mengalami masalah kewangan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement