Anda di sini

Guru Kolej Vokasional juara anugerah kecemerlangan di Paris

Advertisement

KOTA KINABALU: Guru Kolej Vokasional Keningau Mohd Sirhajwan Idek, 29, mencipta sejarah apabila menjuarai Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School, Paris, pada Sabtu.

Pendidik anak watan Kota Belud itu telah menewaskan 10 pesaing pada pertandingan akhir.

Dmitry Shaytan dari Rusia di tempat kedua manakala tempat ketiga dikongsi bersama Cindy Gilbert dari Amerika Syarikat (AS) dan David Gibson dari United Kingdom (UK).

Selain Sirhajwan yang juga wakil tunggal Asia, turut berada dalam senarai 10 finalis ialah guru-guru dari AS, UK, Rusia, Jerman, Kanada, Denmark dan Colombia.

Anugerah berkenaan menilai 29 penyertaan terbaik dari seluruh dunia sebelum 15 diundang menghantar penyertaan penuh bagi memilih 10 terbaik.

Program bertaraf antarabangsa itu adalah anjuran Academic Conferences and Publishing International Limited (ACPI), organisasi berpangkalan di London yang mengendalikan perhimpunan penyelidik akademik antarabangsa dan menggalakkan penyelidikan akademik cemerlang melalui penerbitan.

Menurut Sirhajwan, inovasi dihasilkannya adalah projek berasaskan pembelajaran untuk menggalakkan pelajar menceburi inovasi dan keusahawanan.

Kejayaan itu melayakkannya menerima sijil dan keahlian International Society for Professional Innovation Management (ISPIM) selama setahun, sekali gus dapat menyertai program organisasi itu di Melbourne, Australia dan Boston, AS dalam tempoh berkenaan.

Beliau mendedikasikan kejayaan itu kepada ayahnya, Idek Asal dan ibu, Bintek Abdul Rahman serta semua ahli keluarga yang memberi dorongan.

“Alhamdulillah, kejayaan ini hadir pada 1 Muharram 1439 Hijrah, tahun yang amat penting dalam sejarah umat Islam. Ia permulaan baik bagi saya untuk berhijrah melakukan lebih baik demi agama, negara dan bangsa saya Sama/Bajau,” katanya.

Ia adalah kejayaan keempat Sirhajwan di peringkat global sepanjang tahun ini dan tahun lalu.

Tiga lagi anugerah diraihnya adalah biasiswa Macmillan English anjuran Macmillan Education Teachers at the Heart di UK pada 2016, biasiswa International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) kategori Express Publishing 2017 dan antara 50 finalis Hadiah Guru Global 2017.

Sehubungan itu, ayah serta ibunya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat membantu kejayaan anak bongsu mereka itu.

“Terima kasih kepada wakil rakyat kami Datuk Musbah Jamli, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan tidak lupa juga kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Maimunah Suhaibul dan Pengetua Kolej Vokasional Keningau Johairi Saibin yang telah membantu anak kami,” kata mereka.

Advertisement