Anda di sini

Ewal tersingkir, Amir Jahari dapat pujian di AF Megastar

Advertisement
__alt__

DENGAN bertemakan rock, konsert kedua AF Megastar yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (135) pada malam Ahad lepas melihat Ewal mendapat markah terendah sekaligus menjadi peserta ketiga tersingkir dari program realiti itu.

Ewal yang membawakan lagu ‘Potret’ nyanyian asal kumpulan Akim & The Majistret hanya mendapat 20.9 peratus undian keseluruhan iaitu 60 peratus daripada juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli M.S. dan Syafinaz Selamat sebagai juri tetap manakala Joe Wings sebagai juri jemputan.

Markah 40 peratus lagi daripada undian penonton atau AFUNDI menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) dan secara ‘online’ di laman web rasmi www.afmegastar.com.my.

“Tak rock lah, ia lebih kepada pop. Awak perlu cari keupayaan dan identiti awak sendiri dalam lagu,” kata Ramli.

Amir Jahari, yang berasal dari Sarawak dan berada dalam tiga terbawah pada minggu lepas mendapat pujian Syafinaz pada minggu ini selepas menyanyikan lagu ‘Pokok’.

“Awak seorang yang bijak. Awak pilih lagu rock yang progresif,” kata Syafinaz.

Pada malam itu kesemua peserta menyanyikan lagu rock pilihan mereka sendiri dengan Idayu yang menyanyikan lagu ‘Sesal Separuh Nyawa’ mendapat markah paling tinggi iaitu 62.6 peratus diikuti oleh Syamel dengan lagu ‘Still Loving You’ mendapat 54.6 peratus.

Bob, seorang lagi bintang AF Megastar yang berasal dari Sarawak mendapat 51 peratus selepas menyanyikan lagu ‘Saat Ku Idamkan’ nyanyian asal Amy Search.

Bintang AF Megastar lain yang turut mara ke konsert seterusnya adalah Marsha (48.9 peratus), Shahir (42.6 peratus), Indah (40 peratus), Amir (35.7 peratus), dan Sufi (24 peratus).

Sufi yang menyanyikan lagu ‘Sambutlah Kasih’ menerima anugerah persembahan terbaik, ‘Star of The Week’ hasil undian peminat sepenuhnya. Penyanyi yang berasal dari Singapura itu membawa pulang eGiftCard daripada GoShop bernilai RM2,000 serta sebuah trofi.

Juara AF Megastar bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kemudian.

  • oleh
  • Advertisement