Anda di sini

84 orang awam mangsa AS di Raqa: HRW

Advertisement
 Para pejuang SDF mengambil kedudukan di barisan hadapan timur Raqa kelmarin dalam usaha mengusir saki-baki pejuang IS di wilayah tersebut yang suatu ketika dahulu menjadi kubu kuatnya. — Gambar AFP
BERJUANG: Para pejuang SDF mengambil kedudukan di barisan hadapan timur Raqa kelmarin dalam usaha mengusir saki-baki pejuang IS di wilayah tersebut yang suatu ketika dahulu menjadi kubu kuatnya. — Gambar AFP

BEIRUT: Serangan udara tentera pakatan Amerika Syarikat (AS) dekat kubu kuat Syria kumpulan Islamic State (IS) Raqa pada Mac membunuh sekurang-kurangnya 84 orang awam, termasuk puluhan kanak-kanak, menurut Human Rights Watch (HRW) semalam.

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, serangan udara itu mengenai dua tempat iaitu sebuah sekolah menempatkan keluarga pelarian di bandar Mansourah serta sebuah pasar dan bakeri di bandar Tabqa.

Ia berkata, saksi mengakui kehadiran pejuang IS di kedua-dua lokasi tetapi orang awam juga ramai.

“Serangan itu membunuh puluhan orang awam termasuk kanak-kanak yang mendapatkan perlindungan di sekolah atau berbaris untuk membeli roti di bakeri.

“Jika tentera pakatan tidak mengetahui kewujudan orang awam di tempat kejadian, mereka perlu meneliti perisikan yang digunakan untuk mengesahkan sasarannya kerana ternyata ia tidak memadai,” kata timbalan pengarah kecemasan HRW Ole Solvang.

HRW berkata, yang pertama daripada dua serangan adalah pada 20 Mac, membunuh sekurang-kurangnya 40 orang termasuk 16 kanak-kanak di sekolah Badia di Mansourah.

Serangan kedua, dua hari kemudian, meragut nyawa sekurang-kurangnya 44 orang termasuk 14 kanak-kanak di pasar dan bakeri Tabqa.

Sejak November tahun lepas, tentera pakatan AS menyokong pakatan Kurdis-Arab Tentera Demokratik Syria (SDF) ketika ia berjuang untuk merampas semula wilayah Raqa termasuk ibu negerinya Raqa.

Pada Ogos, tentera pakatan mengakui kematian 624 orang awam dalam serangan udaranya di Syria dan Iraq sejak 2014, tetapi kumpulan hak asasi manusia menegaskan jumlahnya lebih tinggi dan HRW mengkritik cara pakatan menilai kematian dan kecederaan orang awam.

Ia mendakwa pakatan melaporkan telah menilai serangan udara ke atas Mansourah dan Tabqa tetapi tidak melakukan lawatan ke tempat kejadian walaupun menemu bual saksi di sebalik hakikat kedua-duanya sudah berminggu-minggu di bawah kawalan SDF.

Sementara itu, seorang jeneral Rusia terkorban ketika menentang IS berhampiran bandar Deir Zzor di timur Syria, menurut kementerian pertahanan Moscow kelmarin.

“Jeneral bahagian Valeri Assapov terkorban ketika bom meletup semasa serangan IS,” kementerian dipetik sebagai berkata oleh media tempatan, sambil menambah bahawa pegawai itu berkhidmat sebagai penasihat pasukan tentera kerajaan Syria.

Kementerian menyatakan Assapov akan diberikan anugerah selepas kematiannya atas perkhidmatannya yang cemerlang. — AFP

Advertisement