Anda di sini

Konsert ‘rock’ AF Megastar malam ini di Astro Ria

Advertisement
MARSHA (AF3)
MARSHA (AF3)

SELEPAS persembahan yang rata-rata mendapat pujian pada minggu lepas, konsert keempat AF Megastar malam ini akan memberikan persembahan rock terbaik mereka untuk mara ke konsert seterusnya bagi merebut gelaran juara unggul AF Megastar.

Dalam konsert AF Megastar minggu lalu yang bertemakan ‘Throwback AF’, para peserta dikehendaki menyanyikan semula lagu yang pernah dinyanyikan oleh bekas alumni Akademi Fantasia di musim-musim terdahulu.

Azhar dan Adira diumumkan tersingkir setelah mendapat markah juri profesional dan jumlah AFUNDI terendah di akhir konsert manakala Amir Jahari, salah seorang peserta dari Sarawak turut berada dalam sanarai tiga terbawah.

Azhar yang menyanyikan lagu ‘Dalam Gerimis’ hanya meraih 17.1 peratus manakala Adira dengan lagu ‘Ikut Rentakku’ mendapat 29.3 peratus markah.

Dalam pada itu, Syamel yang membawakan lagu ‘Ku Tak Akan Bersuara’ muncul sebagai pemenang mingguan setelah menerima undian tertinggi di platform digital dan 58.6 peratus markah sekaligus meletakkan beliau di tangga teratas secara keseluruhan.

Idayu juga turut membuktikan bahawa dia mampu menyampaikan lagu tradisional dengan baik pada minggu lepas menerusi lagu ‘Ya Maulai’. Selain Syamel dan Idayu, Bob dan Marsha turut memberikan kejutan apabila tampil berbeza dengan menyuntik elemen menarik dalam persembahan masing-masing.

Format penjurian AF Megastar menggunakan 60 peratus daripada juri profesional dan 40 peratus lagi daripada undian penonton atau AFUNDI menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) dan secara ‘online’ di laman web rasmi www. afmegastar.com.my.

Juara AF Megastar bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kemudian.

Konsert minggu keempat yang bertemakan ‘Rock’ pada malam ini pastinya bakal menyaksikan persaingan yang lebih sengit. Siapakah di antara Bob, Idayu, Marsha, Shahir, Amir Jahari, Indah Ruhaila, Ewal, Sufi, Syamel dan Amir yang akan mara ke minggu seterusnya dan siapa pula yang bakal tersingkir pada malam ini?

Nantikan konsert AF Megastar yang bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dari Royal Theater, Shah Alam, setiap hari Ahad, jam 9 malam selain boleh juga ditonton secara langsung di laman http://www. afmegastar. com.my/

  • oleh
  • Advertisement