Anda di sini

Kes Gatco: Reman penyelesai disambung empat hari lagi

Advertisement

PUTRAJAYA: Tempoh reman lima hari seorang penyelesai yang disiasat berhubung isu jual beli tanah di Kampung Serampang Indah, Jempol, Negeri Sembilan yang dahulunya dikenali sebagai Ladang Gatco yang berakhir semalam dilanjutkan empat hari lagi.

Majistret Chyfica Mohamed Zamri mengeluarkan perintah itu selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dilakukan.

Lelaki berumur 69 tahun yang berperanan sebagai orang tengah itu ditahan setelah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada 19 Sept lepas. Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata lelaki tersebut merupakan saksi penting yang menguruskan pemindahan hak milik tanah.

Isu pertikaian ladang Gatco bermula apabila peneroka tidak berpuas hati dengan penjualan ladang itu dan mendakwa wujud penyelewengan dalam penjualan tanah tersebut kepada Thamarai Holdings Sdn Bhd pada 2007 memandangkan syarikat berkenaan hanya membayar RM16 juta sedangkan nilai pasaran semasa ialah sekitar RM 500 juta.

Kes Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar berkenaan, Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup, menyebabkan ladang tebu terbabit dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.

PKNNS kemudian memajakkan tanah tersebut selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) pada 1977 dan Gatco menjadikan kawasan tersebut sebagai tanah rancangan dengan membawa masuk peserta yang ditawarkan tapak rumah dan tanah kebun seluas 4.048 hektar dengan bayaran antara RM4,000 dan RM7,000 seorang. — Bernama

Advertisement