Anda di sini

Kawal pelepasan sisa buangan dalam sungai

Advertisement

KOTA KINABALU: Ke arah memastikan pelepasan sisa buangan ke dalam sungai di negeri ini sentiasa terkawal, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih tegas dalam bidang pengawalan dan penguatkuasaan.

Pengarah PY Konsep Perunding Sdn Bhd Tan Kok Jyh berkata, tindakan lebih tegas perlu diambil kerana buat masa ini pembuangan sisa dilakukan dengan sewenang-wenangnya termasuklah pembuangan sisa kimia.

Jika dilihat di negara lain seperti Australia, kerajaan mereka tidak membenarkan sesiapa pun membuang sebarang sisa secara terus ke dalam air dan sungai kecuali setelah mendapat kebenaran.

Namun keadaan di Sabah agak sukar dikawal kerana orang yang tinggal di kawasan sungai, bukan hanya menggunakan air sungai untuk kegunaan domestik malah mereka bertindak membuang sisa kumbahan terus ke dalam sungai.

“Pembuangan sisa juga turut berlaku dalam perladangan dan pertanian. Di sini pembuangan baja, racun perosak dan bahan kimia dialirkan terus ke dalam sungai.

“Untuk rawatan air yang tercemar dengan bahan kimia sebegitu, ia memerlukan rawatan air lebih canggih serta kos perbelanjaan yang lebih tinggi.

“Malah orang yang minum air tercemar dengan bahan kimia juga mudah dijangkiti penyakit,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Cabaran Pengurusan Sumber Air & Pembangunan di Sabah’ sempena Persidangan Hari Sungai Sedunia 2017, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Tan juga berharap semua pihak memainkan peranan tersendiri kerana usaha penjagaan kualiti air adalah tanggungjawab bersama.

Katanya, kawasan Pantai Timur Sabah yang menempatkan banyak ladang kelapa sawit juga harus melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat bagi memastikan masyarakat yang tinggal di sekitar kawasan ladang menikmati air yang bersih dan berkualiti.

“Syarikat mengusahakan kelapa sawit memperoleh keuntungan yang tinggi maka mereka perlu melakukan CSR,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tan juga menggesa kerajaan supaya menetapkan garis panduan dalam penggunaan racun perosak dan baja di kawasan perladangan sawit.

“Masalah berlaku apabila pengusaha ladang membuang sisa perladangan ke dalam tasik yang bersambung dengan sungai. Sungai Segama (Lahad Datu) yang dikelilingi kawasan perladangan di sekitarnya kini sangat tercemar hingga menyebabkan sungai ini dikategorikan dalam Kelas III (air memerlukan rawatan intensif) dan 1V (air untuk pengairan sahaja),” katanya.

Selain aktiviti sebegitu, kerja-kerja pembersihan hutan melibatkan kawasan yang luas untuk tujuan perladangan juga menyumbang kepada pemendapan dan memberi kesan terhadap sungai.

Katanya, Sabah sangat bertuah kerana masih mempunyai banyak Hutan Simpan Kelas 1 dan hutan sebegitu harus dikekalkan demi manfaat generasi akan datang.

Melihat keadaan semasa, keperluan terhadap sumber air semakin meningkat berikutan pertambahan populasi di Sabah yang hanya 630 000 pada 1970 kepada 3.12 juta pada 2010.

Malah penyediaan air per kapita menunjukkan penurunan dan sumber air sudah mencapai hadnya.

Ianya berikutan peningkatan keperluan air termasuk dalam sektor pembangunan perindustrian seperti Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang (Sogip) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) juga memerlukan bekalan air yang tinggi.

Sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan air di bandar raya ini, Jabatan Air sudah berusaha meningkatkan bekalan air melalui pembinaan Empangan Kaiduan. Namun pembinaan empangan ini memerlukan masa yang lama untuk dibina.

Dalam masa yang sama, beliau juga melihat terdapat keperluan penambahan tenaga manusia dalam menguruskan sumber air di negeri ini.

Katanya, ianya penting kepada kita untuk bergerak ke hadapan. Jika kita mampu mengurus sumber air dengan baik, kita pasti mampu mengekalkan sumber air kita.

Advertisement