Anda di sini

Hayati pengertian hijrah

Advertisement
 Musa menerima cendera kenangan daripada Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana merangkap Timbalan Presiden MPS Mohd Hamsan Awang Supain disaksikan oleh Tun Juhar (tengah).
PERTEGUH SOLIDARITI UMMAH: Musa menerima cendera kenangan daripada Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana merangkap Timbalan Presiden MPS Mohd Hamsan Awang Supain disaksikan oleh Tun Juhar (tengah).

SANDAKAN: Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mengingatkan umat Islam agar menghayati semangat dan pengertian hijrah yang sebenar.

Beliau berkata umat Islam tidak seharusnya leka dan lalai dengan apa yang dikecapi pada hari ini, malah berusaha dengan lebih gigih dan komited menjayakan agenda pembangunan dalam pelbagai sektor dan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi.

“Apa yang penting adalah semangat perpaduan dan kesatuan ummah melalui pendekatan kesederhanaan bagi membolehkan kita terus mengecapi nikmat kemajuan dan kemakmuran.

“Kita jadikan pengajaran penting daripada peristiwa hijrah ini dengan menghindari perselisihan faham dan perpecahan. Insya-Allah semoga tahun 1439H membawa lebih banyak kejayaan, kecemerlangan dan kesejahteraan kepada umat Islam khususnya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri 1439H/2017M yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Dr. Juhar Datuk Mahiruddin di Dewan Serbaguna Libaran, pagi Jumaat.

Musa berkata, perpaduan bukannya kata-kata retorik mahupun tuntutan politik, tetapi perpaduan adalah perintah Allah SWT. Malah, perpaduan juga menjadi inti yang amat penting dari hijrah Nabi Muhammad SAW.

“Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana begitu banyak nikmat dan rahmat yang dianugerahkan kepada rakyat dan negeri yang tercinta ini. Antaranya nikmat kemajuan, keamanan dan kemakmuran. Begitu juga dengan wujudnya kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan keharmonian rakyatnya yang berbilang suku kaum, agama dan budaya.

“Semua ini dapat kita nikmati dengan adanya semangat perpaduan, kesatuan dan kerjasama bukan sesama kita umat Islam, bahkan juga antara rakyat yang berlainan kaum dan agama,” katanya.

Jelasnya hijrah juga amat sinonim dengan golongan remaja dan generasi muda, yang turut memainkan peranan dalam agenda pembangunan ummah.

Beliau berkata TN50 yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah agenda kemajuan masa depan negara yang menuntut peranan generasi muda hari ini.

“Kejayaan TN50 ditentukan oleh remaja dan orang muda hari ini. Justeru, generasi hari ini hendaklah dipersiapkan dengan ilmu, iman dan akhlak. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan gejala yang boleh menyusahkan diri dan orang lain, bahkan boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Apa yang berlaku terhadap tragedi di sebuah madrasah tahfiz baru-baru ini menunjukkan satu perbuatan segelintir anak remaja yang terjebak dalam dadah dan jauh dari nilai ilmu dan akhlak. Akibatnya, mereka sanggup melakukan tindakan yang tidak terbayangkan oleh kita, boleh dilakukan oleh remaja bawah umur,” katanya.

Mengenai Sambutan Maal Hijrah ini, Musa berkata ia bukan sahaja amat penting bagi mengimarahkan kehadiran tahun baharu dalam takwim Islam, bahkan ia menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat dan tindakan umat Islam di negeri ini untuk memperteguh solidariti ummah sebagai landasan mensejahterakan negara.

Ia katanya bertepatan dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini, iaitu ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’.

“Tema ini digarap daripada konsep penyatuan ummah berasaskan ikatan ukhuwah Islamiah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam membina negara baharu di Madinah al-Munawarrah sesudah berhijrah dari Mekah al-Mukarramah,” katanya.

Advertisement