Anda di sini

Golongan muda penting dalam pembangunan ummah

Advertisement

SANDAKAN: Transformasi Nasional (TN) 50 yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah agenda kemajuan masa depan negara yang menuntut peranan remaja dan generasi muda hari ini, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Golongan muda berperanan penting dalam agenda pembangunan ummah, justeru, mereka hendaklah dipersiapkan dengan ilmu, iman dan akhlak, katanya pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Sabah yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sini, semalam.

Musa berkata peranan ibu bapa turut penting dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala yang boleh menyusahkan diri dan orang lain, bahkan boleh menjejaskan masa depan mereka.

Dalam pada itu, Musa meminta umat Islam agar tidak leka dan lalai dengan apa yang dikecapi pada hari ini, sebaliknya perlu menghayati semangat dan pengertian Hijrah yang sebenar, berusaha dengan lebih gigih dan komited dalam menjayakan agenda pembangunan dalam pelbagai sektor dan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata apa yang penting adalah  semangat perpaduan dan kesatuan ummah melalui pendekatan kesederhanaan bagi membolehkan negara terus mengecapi nikmat kemajuan dan kemakmuran.

Musa berkata, pengajaran penting yang perlu diambil daripada peristiwa Hijrah adalah menghindari perselisihan faham dan perpecahan.

Pada majlis itu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Abdul Hamid Egoh diumumkan Tokoh Maal Hijrah 1439 Sabah manakala Pengerusi Persatuan Persatuan Tindakan Wanita Islam Sabah (Pertiwisa) Sandakan Kamsiah Ajing menerima Anugerah Siti Khadijah.

Anugerah lain, Masjid Haji Hashim Sipitang (Masjid Kariah Cemerlang), Surau Ar-Rahman Kampung Tobur Rampayan Menggatal (Surau Kariah Cemerlang), Surau Al-Ikram Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort (Surau Cemerlang Institusi), Surau An Najatul Hasanah SMK Segaliud (Surau Cemerlang Sekolah) dan Tanah Perkuburan Ar-Raudah Kampung Siasai Tombol Kota Belud (Raudatul Jannah Cemerlang). — Bernama

Advertisement