Anda di sini

Warga emas ditahan disyaki rogol gadis bawah umur

Advertisement

SIBU: Seorang pekebun warga tua berusia 61 tahun ditahan  polis kerana disyaki merogol gadis bawah umur di Dalat kira-kira tiga jam perjalanan dari sini.

Ketua Polis Daerah Dalat, DSP, Awang Arfian Awang Bujang ketika dihubungi berkata kes itu terbongkar selepas ibu gadis berusia 15 tahun itu membuat laporan polis kelmarin (Rabu) mendakwa anaknya dirogol suspek.

Bertindak daripada maklumat, polis telah berjaya menangkap suspek di rumahnya di Kampung Medong Dalat tengah hari kelmarin.

Difahamkan, kes tersebut dipercayai berlaku di rumah suspek dan masa kejadian tidak diketahui.

“Mangsa tidak bersekolah lagi dan dibawa ke Hospital Dalat untuk pemeriksaan perubatan pagi ini,” kata Awang Arfian.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana kes  tersebut masih dalam siasatan pihak polis.

Awang Arfian berkata suspek kini  diperintah reman selama empat hari sehingga Ahad ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun juga boleh dikena sebatan.

Advertisement