Anda di sini

Tonto sukarkan operasi KPDNKK banteras DVD cetak rompak

Advertisement
 Jaiya (dua kanan) bersama anggotanya menunjukkan antara barangan tiruan yang dirampas bernilai RM88,191.20 pada sidang media di Melaka, semalam. — Gambar Bernama
BARANG TIRUAN: Jaiya (dua kanan) bersama anggotanya menunjukkan antara barangan tiruan yang dirampas bernilai RM88,191.20 pada sidang media di Melaka, semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Tindakan licik tonto mengintip pergerakan  keluar masuk kenderaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan serbuan terhadap  premis menjual DVD cetak rompak menjadi penghalang kepada pegawai penguat kuasa membanteras kegiatan itu.

Pengarah KPDNK Melaka, Jaiya Abu berkata sebelum melakukan serbuan, pegawai penyiasat akan membuat risikan bagi mengenal pasti premis terbabit, namun apabila melakukan  serbuan, pasukan penguat kuasa gagal menemui bahan bukti kerana mereka menutup operasi perniagaan pada hari berkenaan.

“Kami tidak menolak kemungkinan bahawa peniaga mendapat maklumat awal dan menutup kedai atau menyorok bahan bukti apabila mengetahui maklumat daripada tonto,” katanya kepada pemberita pada sidang media operasi membanteras cetak rompak dan barang tiruan oleh KPDNK Melaka di sini semalam.

Beliau berkata tonto dipercayai bertanggungjawab menyebarkan maklumat awal serbuan KPDNKK kepada peniaga dengan mengekori pergerakan kenderaan KPDNKK.

Beliau menolak kemungkinan kebocoran maklumat daripada dalam jabatan dan puas hati tiada kes membabitkan kebocoran maklumat berlaku. Beliau  percaya dengan sikap tanggungjawab  para pegawai penguat kuasa yang ada.

Jaiya berkata KPDNKK memandang serius lambakan penjulan DVD cetak rompak di negeri ini dan sentiasa melakukan langkah proaktif dengan melakukan penguatkuasaan dan serbuan. Katanya pada bulan Ogos hingga September 2017, pihak penguat kuasa KPDNKK berjaya merampas sebanyak 6,592 keping DVD cetak rompak membabitkan lima kes dengan rampasan bernilai RM32,960 di beberapa kawasan sekitar daerah Melaka Tengah.

Jaiya berkata kes penjualan DVD cetak rompak boleh disiasat di bawah Perintah 4(4) (a) Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,00 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat tentang penjualan DVD cetak rompak atau barang tiruan boleh menghubungi KPDNKK Melaka di talian 06-2345822 atau hadir sendiri ke ibu pejabat KPDNKK Melaka. — Bernama

Advertisement