Anda di sini

Sengaja dibakar punca kebakaran pusat tahfiz

Advertisement
 Wan Mohd Nor menunjukkan kenyataan akhbar ketika sidang media                  mengenai laporan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Jalan Keramat Ujung  di Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama
KENYATAAN AKHBAR: Wan Mohd Nor menunjukkan kenyataan akhbar ketika sidang media mengenai laporan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Jalan Keramat Ujung di Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada Khamis lalu berpunca daripada perbuatan sengaja dibakar, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata kebakaran didapati bermula di pintu masuk bilik asrama aras tiga berdasarkan keterangan saksi, keterangan mangsa terselamat dan disokong dengan kesan kebakaran di hadapan pintu masuk seperti pengelupasan pada dinding berdekatan pintu, kehilangan jisim pada pintu, siling, almari dan rak kasut.

Kesan kebakaran pada din-ding sekeliling pintu masuk bilik asrama juga menguatkan lagi bukti tempat bermulanya kebakaran di pintu tersebut, katanya.

“Kebakaran di pusat tahfiz berkenaan dipercayai dise-babkan api yang dinyalakan menggunakan petrol yang dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama di aras tiga bangunan itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini berhubung insiden kebakaran di pusat tahfiz itu.

Kebakaran itu meragut nyawa  23 orang melibatkan 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu.

Wan Mohd Nor berkata kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk aras tiga berkenaan.

“Api marak dengan cepat disebabkan oleh gas LPG (gas cecair petroleum) yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder sehingga menyebabkan ia merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama.

“Tambahan pula, bahan mudah terbakar yang banyak di bilik asrama menyebabkan api cepat marak dan meningkatkan lagi bahang api meng-akibatkan mangsa sedang tidur terkorban dalam masa singkat,” katanya.

Wan Mohd Nor berkata pasukan penyiasatan kebakaran JPBM menemui bahan bukti iaitu dua silinder gas LPG  berwarna hijau berbelang merah  di hadapan pintu masuk bilik asrama.

“Kedua-dua silinder ini sudah kosong dan injap silinder dalam keadaan terbuka,” katanya.

Beliau berkata Unit Pengesan (K9) mengesan tujuh tempat dan mengambil tujuh sampel di hadapan pintu masuk bilik asrama.

Beliau berkata empat ekor anjing digunakan (seekor demi seekor) dan kesemuanya  menunjukkan ke tempat yang sama.

“Sampel telah dianalisis oleh Pegawai Kimia di Makmal Penyiasatan kebakaran Kuala Lumpur dan didapati empat sampel berkenaan mengan-dungi residu cecair mudah me-nyala jenis petrol,” katanya.

Wan Mohd berkata laporan kebakaran yang penuh telah dihantar kepada polis kelmarin.

Wan Mohd Nor dalam pada itu menafikan bahawa pintu masuk bilik asrama disendal dengan spanar.

Beliau berkata pihak bomba telah mendapat petanda bahawa kebakaran di pusat tahfiz tersebut disebabkan perbuatan sengaja dibakar pada 1 petang  hari kejadian selepas sampel dianalisis mendapati residu cecair mudah menyala jenis petrol.

“Pihak bomba memaklumkan (petunjuk) kepada polis dan polis memulakan siasatan (pada hari kejadian),” katanya.

Menurut Wan Mohd Nor, seramai 43 anggota dan 17 pegawai terlibat dalam ope-rasi pemadaman api pada hari kejadian.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.29 pagi.

“Pasukan bomba yang sampai ke tempat kejadian telah membuat penyelamatan dan pemadaman. Lima sekeluarga yang tinggal di bilik warden berjaya dibawa keluar dengan menggunakan tangga jentera bomba melalui tangga belakang.

“Apabila pasukan bomba sampai di bilik asrama semasa pemadaman dan menyelamat, mereka tidak mendengar apa-apa suara pelajar. Sebaliknya setelah mereka berjaya masuk ke dalam bilik asrama, mereka telah menemui mangsa yang mati dalam kebakaran,” katanya.

Menurutnya, 23 orang dapat diselamatkan manakala tiga orang bercuti dan tidak berada di pusat tahfiz tersebut.

Wan Mohd Nor berkata kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu adalah kebakaran besar kedua dalam sejarah kebakaran di pusat tahfiz.

Pada tahun 1989,  kebakaran Sekolah Agama Taufiqiah Khairiah Al-Halimah, Padang Lumat, Kedah  mengorbankan 27 pelajar. — Bernama

Advertisement