Anda di sini

Penerjun sangkut di cermin Wisma Sanyan

Advertisement
Gary Favre dibawa masuk ke dalam bangunan untuk diberi rawatan kecemasan.
NGERI:Gary Favre dibawa masuk ke dalam bangunan untuk diberi rawatan kecemasan.

SIBU: Penganjuran acara Sibu Base Jump 2017 awal pagi semalam sedikit cemas apabila seorang penerjunnya yang berasal dari Australia tersangkut pada cermin Wisma Sanyan ketika melakukan aksi terjunan.

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, Gary Favre yang berusia 32 tahun sedang melakukan terjunan percubaan dari puncak bangunan 28 tingkat itu.

Gary bagaimanapun bernasib baik kerana hanya mengalami luka kecil di kaki manakala satu lagi di bahagian paha memerlukan jahitan.

Pengerusi Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) Hii Chang Kee berkata, penerjun terbabit selepas kejadian terus diberi rawatan kecemasan sebelum dirujuk ke sebuah pusat perubatan swasta di sini.

“DTTG sebagai penganjur akan terus mengingatkan penerjun dari semasa ke semasa supaya lebih waspada dan berhati-hati,” katanya.

Menurutnya Hii, pihaknya juga telah mengadakan taklimat keselamatan sejurus selepas insiden tersebut berlaku.

Sementara itu, Presiden Persatuan Base Jump Malaysia Kapten (B) Abdul Aziz Ahmad berkata insiden berkenaan bukan disebabkan masalah teknikal.

“Saya percaya insiden itu lebih kepada nasib dan bukan berpunca daripada masalah teknikal.

“Ini kerana semua peserta dilengkapi dengan ciri keselamatan yang cukup sebelum melakukan terjunan,” ujarnya sambil menambah, ini adalah kali pertama Gary menyertai acara terjunan di Malaysia.

Sebelum ini ujar beliau Gary pernah melakukan 420 kali terjunan di beberapa negara.

Ini kali kedua kemalangan membabitkan penerjun Base Jump sejak mula diperkenal pada 2009.

Pada 2013, Yves Escudier, 63, dari Perancis cedera di kepala selepas payung terjunnya gagal terbuka dan merempuh dinding bangunan sebelum terjatuh ke atas pokok.

Advertisement