Anda di sini

Muzium Negeri Sarawak ditutup untuk kerja pengubahsuaian

Advertisement
 Abang Johari pada sidang media berhubung penutupan sementara Muzium Lama Sarawak bagi tujuan pengubahsuaian. Turut kelihatan Lee (kanan).
DITUTUP SEMENTARA: Abang Johari pada sidang media berhubung penutupan sementara Muzium Lama Sarawak bagi tujuan pengubahsuaian. Turut kelihatan Lee (kanan).

KUCHING: Kerajaan negeri memperuntukkan RM38 juta untuk kerja pengubahsuaian Muzium Lama Sarawak atau Muzium Negeri Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata bagi tujuan itu muzium  tertua di Borneo itu akan ditutup sementara kepada orang ramai bermula 23 Oktober depan sehingga awal 2020.

Beliau berkata kerja-kerja pengubahsuaian muzium itu antara langkah untuk memulihara bangunan bersejarah yang sudah berusia lebih 100 tahun dan merupakan Fasa Kedua Projek Kampus Muzium Sarawak serta Jejak Warisan Sarawak. 

“Jadi kita perlu menutup sementara bangunan Muzium Lama Sarawak kepada orang ramai dan pada masa sama kita membina Kampus Muzium Sarawak.

“Kita perlu memindahkan semua artifak bersejarah dari bangunan lama ke lokasi lain untuk disimpan dengan selamat sementara kita melakukan pengubahsuaian dengan mengekalkan seni bina sedia ada yang melibatkan kos RM38 juta,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata pengumuman awal mengenai penutupan sementara muzium berkenaan perlu supaya umum tahu kerana ia antara bangunan bersejarah yang sering menjadi tumpuan pelancongan tempatan dan luar negara.

Beliau berkata sebelum ini dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 pengunjung setahun namun akhir-akhir ini jumlah itu menurun kepada 400,000 setahun.

Pada masa sama beliau berharap Kampus Muzium Sarawak akan siap mengikut jadual iaitu pada 2020.

“Sedikit latar belakang muzium ini, ia adalah sebahagian daripada sejarah kerana ia ditubuhkan pada 1891 oleh Sri Charles Brooke hasil hubungannya dengan Alfred Rusell Wallace, itu sangat penting.

“Beliau (Wallace) mempunyai pembantu dikenali Ali dan kita ada bukti menunjukkan, belum disahkan lagi,  Ali adalah rakyat Sarawak bukan dari Papua New Guinea kerana ada bukti daripada keluarga Ali sendiri dan menerusi pantun mengenai siapa Ali. Beliau sangat mahir mengenai Sarawak,” jelasnya.

 Bangunan Muzium Lama Sarawak akan diubah suai dengan mengekalkan seni bina sedia ada.
BERSEJARAH: Bangunan Muzium Lama Sarawak akan diubah suai dengan mengekalkan seni bina sedia ada.

Tambahnya, Wallace banyak bergantung kepada Ali untuk mengumpul sampel serta spesimen biodiversiti serta habitat di Sarawak.

Malah bukti menunjukkan Ali berasal dari Kampung Jaie di Sadong Jaya dan ada pantun di kampung itu menceritakan mengenai ‘Ali Tinggi’.

Semua itu menggambarkan Muzium Lama Sarawak ada hubung kait dengan individu bernama Ali dan Wallace, tambahnya.

Justeru ujarnya kerajaan negeri ketika ini sedang mempertimbangkan untuk menamakan salah satu bahagian di dalam Kampus Muzium Sarawak sempena nama Ali dan ia mesti dikaitkan dengan Wallace.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin,   Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datu Ik Pahon Joyik dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Ipoi Datan.

Advertisement