Anda di sini

Lelaki ditahan bersama 66 peket dadah

Advertisement
  Supt Zulkipli (tengah) bersama pegawai-pegawai JSJ dan Narkotik menunjukkan pistol tiruan, pisau serta dadah yang  dirampas daripada seorang lelaki tempatan di Bintulu.
RAMPASAN: Supt Zulkipli (tengah) bersama pegawai-pegawai JSJ dan Narkotik menunjukkan pistol tiruan, pisau serta dadah yang dirampas daripada seorang lelaki tempatan di Bintulu.

BINTULU: Seorang lelaki tempatan diberkas bersama dadah jenis ganja dan ketamin oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan JSJ Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di kawasan dermaga pasar lama bandar ini sekitar jam 2 petang Selasa (19 September) lalu.

Penangkapan lelaki berumur 20-an itu dilakukan anggota JSJ curiga kenderaan dinaiki lelaki terbabit sebelum menahan dan memeriksanya.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, semasa pemeriksaan, polis menjumpai sepucuk pistol tiruan, 16 peket dadah ganja seberat 168 gram, 50 peket dadah dipercayai ketamin seberat 38 gram, satu alat penimbang, pisau dan pengisar atau pemotong daun yang dianggarkan bernilai RM15,000.

“Polis telah merampas barang kes bersama kenderaan yang dinaiki lelaki terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan  Seksyen 12(2) akta yang sama,” katanya pada sidang media di IPD Bintulu semalam.

Katanya, ujian urin ke atas lelaki tersebut didapati negatif dan JSJ turut menyiasat pistol tiruan di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6(1)  Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 membabitkan akta senjata berjadual.

“Di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952 jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 10 sebatan, diikuti Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit pertama kali ditangkap oleh pihak polis dalam kes membabitkan narkotik.

Justeru beliau memberi amaran bahawa pihak polis Bintulu akan bekerja keras untuk terus giat membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di bahagian Bintulu.

Advertisement