Anda di sini

Dua remaja sindiket kutip derma berjaya diselamatkan

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Dua remaja lelaki yang digunakan sindiket meminta derma dengan menjual madu dan jeruk diselamatkan polis dalam Ops Pintas di Bandar Perda, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dua remaja berusia 16 dan 17 tahun itu diselamatkan jam 1 petang ketika sedang mengutip derma dan ekoran itu polis turut menahan dua lelaki berusia 23 dan 55 tahun yang dipercayai dalang sindiket terbabit.

“Berdasarkan siasatan, dua suspek itu menyediakan tempat tinggal atau rumah transit yang kelihatan sangat daif sebagai tempat tinggal sementara untuk mangsa-mangsanya malah menyediakan  pengangkutan  untuk mereka  mengutip derma.

Mereka menggunakan remaja dan kanak-kanak terutama anak-anak yatim sebagai pengutip derma yang hasil kutipannya tidak diketahui disalurkan ke mana,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata sindiket itu juga turut dikesan kerap menukar nama syarikat bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa malah mereka menjalankan operasi di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Nik Ros Azhan berkata mangsa hanya diberikan wang saku untuk makan dan polis kini sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket itu yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang dan negeri lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan dua lelaki anggota geng curi kenderaan dalam dua serbuan di Bukit Mertajam dan di Kupang, Kedah di sini kelmarin dan menemui semula sebuah kereta Proton Perdana yang dilapor hilang, rangka motosikal, pelbagai komponen motosikal serta pelbagai anak kunci kenderaan.

“Siasatan polis mendapati dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun itu terlibat dalam kegiatan curi kenderaan di sekitar Pulau Pinang sejak awal tahun ini. Dua lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah itu terlibat sekurang-kurangnya 20 kes curi kenderaan,” katanya. — Bernama

Advertisement