Anda di sini

Dengar nasihat JPS mengenai banjir, kata Wan Junaidi

Advertisement
 Wan Junaidi (tengah) melawat Galeri Interaktif Sumber Asli dan Alam Sekitar Bukit Nanas di Taman Eko Rimba Bukit Nanas semalam. — Gambar Bernama
LAWATAN: Wan Junaidi (tengah) melawat Galeri Interaktif Sumber Asli dan Alam Sekitar Bukit Nanas di Taman Eko Rimba Bukit Nanas semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan semua pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya mendengar nasihat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung isu banjir.

Katanya, ini kerana selain faktor perubahan iklim, banjir di bandar-bandar besar terutamanya menjadi bertambah buruk kerana sistem perparitan dan saliran yang tidak terurus selain tidak dirancang dengan betul.

“Dengar nasihat JPS kerana mereka mengkaji daripada sudut meteorologi berapa banyak hujan turun dan sebagainya. Dengan itu, kita boleh bina longkang dan ‘culvert’ (pembetung) yang mencukupi (untuk mengawal masalah banjir),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Galeri Interaktif NRE di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur di sini, semalam.

Galeri tersebut menempatkan lebih 300 pameran interaktif dalam bentuk ‘Augmented Reality’ (AR), kod ‘Quick Response’ (QR) dan hologram selain memaparkan 100 jenis spesimen tumbuhan, haiwan dan mineral.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Alam Sekitar) kementerian Datuk Sr Dr Azimuddin Bahari. — Bernama

Dalam ucapan perasmiannya, Wan Junaidi berkata usaha membangunkan galeri itu merupakan langkah permulaan bagi merealisasikan pembangunan fizikal sebuah pusat sejarah alam semulajadi di Malaysia.

“Pusat ini akan setanding dengan pusat sejarah alam semulajadi yang terkemuka di dunia seperti Institusi Smithsonian di Amerika Syarikat dan Muzium Sejarah Alam Semulajadi di United Kingdom yang menjadi pusat rujukan setempat dan pusat kecemerlangan untuk pengurusan flora, fauna dan alam semulajadi melalui pelbagai program seperti penyelidikan saintifik dan pengurusan koleksi saintifik,” katanya.

Selain itu, Wan Junaidi turut melancarkan pangkalan data Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) dan buku ‘Burung-Burung di Malaysia – MyBIS’.

Beliau berkata MyBIS dibangunkan bagi memenuhi salah satu obligasi negara di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi sebagai medium perkongsian maklumat dan pengetahuan.

“Sehingga kini, MyBIS mengandungi lebih daripada 150,000 data yang melibatkan kerjasama perkongsian data antara kementerian dengan lebih daripada 20 organisasi termasuk universiti dan badan bukan kerajaan,” katanya.

Tambahnya, MyBIS juga telah diiktiraf di peringkat antarabangsa setelah dianugerahkan ‘Gold Award’ di konvensyen tersebut di Mexico tahun lepas.

Menyentuh mengenai buku tersebut yang mengandungi kod QR yang dihubungkan dengan MyBIS, Wan Junaidi berkata beliau optimis penerbitan buku itu akan menggalakkan penggunaan MyBIS dan merangsang minat masyarakat dalam aktiviti konservasi burung.

“Ini amat bersesuaian dengan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan burung yang popular di Asia Tenggara.

“Sebagai salah satu laluan penting burung migrasi, Malaysia telah menyertai 17 buah negara lain dalam East Asian-Australasian Flyway Partnership (EAAFP) pada tahun 2012 di mana Teluk Bako Buntal di Sarawak telah disenaraikan sebagai salah satu ‘Flyway Network Site’,” katanya. — Bernama

Advertisement