Anda di sini

Sarawak, Huawei bangun Sarawak Pay

Advertisement

Bangun sistem pembayaran digital, pengenalan teknologi baharu dalam sistem kewangan negeri ini

  Fu Jijun ketika mengiringi Abang Johari yang tiba pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-68 Republik Rakyat China di Kuching semalam. Turut bersama Wong Soon Koh.
SELAMAT DATANG: Fu Jijun ketika mengiringi Abang Johari yang tiba pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-68 Republik Rakyat China di Kuching semalam. Turut bersama Wong Soon Koh.

KUCHING: Dalam usaha ke arah transformasi ekonomi digital, Sarawak bekerjasama dengan syarikat multinasional China, Huawei dalam membangunkan sistem pembayaran digital yang dikenali sebagai Sarawak Pay.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia merupakan pengenalan terhadap teknologi baharu dalam sistem kewangan yang akan diguna pakai di negeri ini.

Sarawak Pay akan memberi impak kepada pertumbuhan industri negeri dengan adanya sistem pembayaran yang pantas dan berkesan,” katanya.

Abang Johari mendedahkan perkara itu ketika menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-68 Penubuhan Republik Rakyat China di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Hadir sama isterinya Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Konsul Besar China di Kuching Fu Jijun serta isteri, Liu Sha, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Dato Sri Wong Soon Koh serta Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin.

Mengulas lanjut, beliau berkata sistem pembayaran tanpa wang ini telah diguna pakai di beberapa negara seperti China, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Kita akan bangunkan sistem pembayaran digital Sarawak Pay yang membolehkan kita memiliki e-wallet supaya dapat dihubungkan terus kepada pengguna kaedah ini di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan China yang mempunyai sistemnya sendiri iaitu Alipay.

Di China, kalau anda membeli barang menggunakan wang tunai, mereka tahu anda adalah orang luar kerana masyarakat di sana (China) membuat pembayaran menggunakan telefon pintar,” ujar Abang Johari.

Justeru, dengan sistem baharu tersebut, katanya, usahawan dan peniaga mampu menjalankan transaksi secara terus dalam persekitaran yang lebih selamat.

Sehubungan itu jelasnya, kerjasama dengan negara maju seperti China amat penting dalam merealisasikan perancangan yang dibuat untuk Sarawak beralih kepada negeri berteknologi.

Pada April lalu, Sarawak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Huawei bagi membangunkan teknologi digital.

Abang Johari berkata gandingan teknologi dan falsafah China telah membawa kepada kejayaan pembangunan negara China yang sentiasa mengamalkan prinsip merendah diri tetapi mampu mencapai kejayaan yang besar.

Sehubungan itu, katanya Sarawak harus menjadikan ia sebagai contoh dalam usaha bergerak ke arah negeri digital di Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement