Anda di sini

REHDA optimis prospek sektor hartanah separuh pertama 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) optimis terhadap prospek sektor hartanah Malaysia bagi separuh pertama 2018 seiring dengan peningkatan keadaan ekonomi negara ini.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar berkata rasa optimis itu juga berdasarkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh sebagaimana dinyatakan oleh pihak seperti Bank Negara Malaysia dan pakar ekonomi.

Selain itu, lebih ramai dilihat memiliki pekerjaan lebih stabil serta yakin dapat mengekalkannya berbanding (persepsi) beberapa tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai industri hartanah bagi separuh pertama 2017 dan unjuran pasaran untuk separuh kedua 2017 dan separuh pertama 2018, di sini, semalam.

Malah tinjauan yang turut dilakukan menunjukkan bagi segmen kuasa pembeli pengguna, 17 peratus responden menyuarakan rasa optimis terhadap prospek segmen itu pada separuh pertama 2018 berbanding sembilan peratus bagi separuh kedua 2017.

Mengulas prestasi pasaran hartanah, 26 peratus responden optimis terhadap prospek segmen hartanah bagi separuh pertama 2018 berbanding lapan peratus untuk separuh kedua 2017.

Tinjauan itu merangkumi 153 ahli REHDA di Semenanjung Malaysia dengan penilaian itu dibuat berdasarkan prestasi pasaran pada separuh pertama 2017 serta unjuran separuh kedua 2017 dan 2018.

Bagi kemajuan masa depan, FD Iskandar berkata  48 peratus responden atau ahli REHDA merancang untuk melancarkan sejumlah 17,535 unit kediaman pada separuh kedua 2017 dan separuh pertama 2018 dengan kebanyakan negeri menyasarkan untuk mengekalkan atau menurunkan harga rumah yang ditawarkan pada RM500,000 dan ke bawah, kecuali Selangor dan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, 76 peratus responden menjangkakan pelancaran projek baharu itu kekal pada kadar 50 peratus dan ke bawah.

Ini berikutan 73 peratus daripada responden sedang berdepan masalah pinjaman akhir dengan kira-kira separuh pinjaman yang ditolak itu membabitkan hartanah berharga RM500,000 atau ke bawah,” katanya.

Bagi melonjakkan jualan, FD Iskandar berkata para pemaju telah bertindak melaksanakan pelbagai langkah seperti membantu pembeli menerusi bayaran pendahuluan pertama sebanyak 10 peratus, menyemak semula harga jualan serta mempertingkatkan inovasi dan kreativiti produk yang ditawarkan.

Selain itu, beliau berkata, 40 peratus responden turut mendedahkan bahawa organisasi mereka terjejas teruk akibat senario ekonomi semasa.

Tiga kos utama adalah tanah, bahan mentah dan buruh selain kos pematuhan dengan 51 peratus responden berasakan kos menjalankan perniagaan telah pun meningkat sebanyak 10 peratus,” katanya.

Bagi mengatasi cabaran itu, FD Iskandar berkata beberapa langkah penjimatan kos telah dicadangkan termasuk membekukan pengambilan pekerja asing serta menghapuskan atau mengurangkan levi pekerja asing.

Namun, secara amnya, beliau berkata majoriti responden lebih bersikap berkecuali terhadap prospek industri berkenaan. — Bernama

Advertisement