Anda di sini

Program GTG sasar lebih banyak produk usahawan Bumiputera ke pasaran global

Advertisement
 Awang Adek (dua kanan) melancarkan Program ‘Gate To Global’ di Kuala Lumpur, kelmarin. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Awang Adek (dua kanan) melancarkan Program ‘Gate To Global’ di Kuala Lumpur, kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Program ‘Gate To Global’ (GTG), dijangka dapat menghasilkan usahawan Bumiputera bertaraf global dengan produk unggul yang boleh menembusi pasaran antarabangsa.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata program itu antara lain untuk memberi pendedahan kepada usahawan mengenai kaedah pembangunan produk dan penjenamaan, strategi penembusan pasaran halal global termasuk bantuan pembiayaan modal.

Melalui usaha ini produk usahawan Bumiputera akan dinaik taraf menjadi usahawan global dengan produk diberikan sentuhan unik serta berdaya saing untuk dieksport,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pertama program GTG, di sini kelmarin.

Awang Adek berkata program dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SME Corp dan Idea Institute itu akan memberi penekanan kepada usahawan dalam kluster makanan dan minuman (F&B) serta produk barangan pengguna mudah laris (FMCG).

Katanya lagi potensi pasaran usahawan Bumiputera negara masih gagal diterokai sepenuhnya atas pelbagai faktor antaranya kurangnya ilmu pengetahuan mengenai akses pasaran global, kekurangan modal pusingan dan kapasiti pengeluaran dan penjenamaan produk yang tidak mencapai piawaian antarabangsa.

Dengan produk yang dihasilkan juga kita mahu para usahawan ini menawan pasaran halal dunia yang masih mempunyai potensi luas di mana hanya 23 peratus permintaan pasaran itu diisi setakat ini,” katanya.

Melalui program ini katanya, MARA menyasarkan sekurang-kurangnya 100 unit stok (SKU) baharu dapat dieksport menjelang tahun depan.

Sementara itu, katanya sehingga hari ini MARA telah melahirkan lebih sejuta usahawan Bumiputera di mana 200,000 telah menerima pelbagai kemudahan pembiayaan perniagaan bagi membantu mereka terus berkembang.

Hampir 700,000 lagi dibangunkan melalui pelbagai program latihan, pembangunan standard perniagaan, teknousahawan serta pemasaran dan penjenamaan, katanya.

Kira-kira 500 usahawan hadir pada majlis pelancaran GTG kelmarin yang merupakan seminar sulung antaranya mengenai kemudahan pembiayaan, peluang pasaran dan cara-cara menjenamakan produk. — Bernama

Advertisement