Anda di sini

Penduduk mohon kampung dikeluarkan dari kawasan Safoda

Advertisement
 Wetrom (lima kanan) mengabadikan gambar kenangan di kawasan tanaman getah.
MOHON CAMPUR TANGAN: Wetrom (lima kanan) mengabadikan gambar kenangan di kawasan tanaman getah.

KOTA MARUDU: Penduduk Kampung Mangin Satu dan Mangin Dua dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong memohon kepada kerajaan negeri agar mengeluarkan kampung itu daripada kawasan Safoda.

Ia memandangkan kedua-dua kampung berkenaan hampir dipenuhi oleh tanaman getah bermutu tinggi selain padi dan tanaman kontan lain yang diusahakan oleh penduduk.

Ketua Kampung Wani yang juga Ketua Zon Langkon Balang Timbuong berkata, penduduk Kampung Mangin Satu dan Mangin Dua menduduki kampung itu sejak tahun 1924.

Mereka mengusahakan tanah berkenaan sejak tahun 1975 sehingga 1980 kemudian disambung semula dari 1985 sehingga ke hari ini manakala, Safoda berada di situ sekitar tahun 1978.

Katanya, Kampung Mangin Satu didiami seramai 642 orang dengan 176 Ketua Isi Rumah dan 88 buah rumah.

Kampung Mangin Satu berkeluasan 3,000 ekar yang mana 2,000 ekar sudah diusahakan melibatkan 106 ahli manakala, 650 ekar belum diusahakan, 250 ekar kawasan tadahan air dan 100 ekar lagi tanah simpan.

Kampung Mangin Dua didiami seramai 546 penduduk dengan 219 buah rumah dan 119 keluarga. Kawasan itu berkeluasan 3,000 ekar di mana 2,500 ekar telah diusahakan oleh 200 peserta,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu Datuk Wetrom @Mohd Fikri Bahanda telah diundang oleh penduduk kedua-dua kampung berkenaan baru-baru ini untuk melawat kampung mereka dengan diiringi 12 ketua kampung yang termasuk dalam kawasan Zon Langkon.

Ketika ditemui, Wetrom berkata sebagai pemimpin di peringkat bahagian atau akar umbi, pihaknya akan berusaha membantu di mana yang difikirkan perlu.

Ia disebabkan kedua-dua kampung itu telah didiami oleh generasi hampir 100 tahun dan mereka wajar memiliki tanah masing-masing sebagai sumber rezeki.

Kita menerima rungutan dan rintihan masyarakat kampung sebab mereka juga seperti kita yang memerlukan kepelbagaian.

Saya akan memanjangkan perkara ini kepada yang berkenaan dan memohon restu kerajaan negeri agar perkara ini diambil perhatian dan pertimbangan untuk kelulusan,” katanya.

Advertisement