Anda di sini

Mexico digegar gempa 7.1, lebih 200 maut

Advertisement

Bencana awal petang kelmarin saksikan banyak bangunan ranap dan suasana kacau-bilau

 Anggota penyelamat giat mencari mangsa terperangkap dalam runtuhan sekolah Enrique Rebsamen di Kota Mexico awal pagi semalam. — Gambar Reuters
MALAPETAKA: Anggota penyelamat giat mencari mangsa terperangkap dalam runtuhan sekolah Enrique Rebsamen di Kota Mexico awal pagi semalam. — Gambar Reuters

KOTA MEXICO: Sekurang-kurangnya 216 maut apabila gempa bumi dengan kekuatan 7.1 magnitud melanda Mexico kelmarin, termasuk 21 kanak-kanak yang tertimbus di bawah runtuhan sebuah sekolah asas.

Kemusnahan tersebut membangkitkan memori ngeri di Mexico pada ulang tahun ke-32 satu lagi gempa kuat pada 1985 yang terburuk seumpamanya.

Gegaran bermula hanya dua jam selepas negara itu mengadakan latihan gempa bumi kebangsaan tahunan sejak bencana 1985 membunuh sekurang-kurangnya 10,000 orang.

Antara pemandangan paling menyayat hati adalah di sekolah rendah Enrique Rebsamen di bahagian selatan Kota Mexico di mana tiga tingkat ranap sepenuhnya, memerangkap pelajar dan guru.

Sejumlah 21 kanak-kanak dan lima orang dewasa disahkan maut, menurut jurucakap tentera laut Mejar Jose Luis Vergara yang menyelaras usaha menyelamat melibatkan ratusan askar, polis, sukarelawan awam dan anjing penyelamat.

Beliau berkata, antara 30 hingga 40 mangsa masih terperangkap, manakala sebelas kanak-kanak berjaya dibebaskan.

Pekerja kecemasan menemui seorang guru dan seorang pelajar masih hidup di bawah runtuhan dan cuba mengeluarkan mereka, tetapi situasi masih rapuh apabila larut malam kelmarin sebahagian runtuhan ranap ketika penyelamat meneruskan pencarian.

Laporan media tempatan menyebut askar menyalurkan oksigen dengan tiub kepada salah seorang pelajar yang terperangkap.

Presiden Enrique Pena Nieto yang berkejar ke tempat kejadian memberi amaran angka kematian akan meningkat.

Malangnya ramai telah kehilangan nyawa termasuk kanak-kanak,” katanya dalam ucapan negara.

Kemusnahan dapat disaksikan di seluruh negeri tengah dan angka kematian setakat awal semalam adalah 216, menurut pengarah agensi respons bencana kebangsaan Luis Felipe Puente dalam Twitter.

Selain Kota Mexico, kematian turut dilaporkan di Puebla, Morelos, negeri Mexico dan Guerrero.

Menjelang dinihari, kru dan sukarelawan penyelamat di Kota Mexico yang mempunyai 20 juta penduduk itu, masih menggeledah puing puluhan bangunan ranap mencari mangsa terselamat dan mayat.

Pekerja penyelamat melaporkan penduduk menerima mesej WhatsApp merayu bantuan daripada ahli keluarga yang terperangkap di bawah runtuhan.

Memburukkan lagi keadaan, gempa bumi terbaharu menyusuli gempa bumi 12 hari lalu yang meragut hampir 100 nyawa dan menyebabkan lebih 200 cedera kebanyakannya di negeri selatan Oaxaca dan Chiapas.

Ramai penduduk di ibu negara berlari ke luar premis apabila tembok di sekeliling mereka bergoyang dan retak.

Saya amat bimbang dan tidak henti-henti menangis.

Semua ini igauan ngeri seperti yang berlaku pada 1985,” kata Georgina Sanchez, 52, yang ditemui menangis teresak-esak di sebuah plaza.

Gempa bumi tersebut yang berlaku awal petang kelmarin menyebabkan kerosakan besar-besaran di tengah bandar raya.

Suasana huru-hara meletus sejurus gegaran berhenti.

Trafik sesak ketika ambulans mencari jalan dan di beberapa lokasi, ramai menggeledah runtuhan bangunan untuk menarik keluar mangsa terperangkap.

Pekerja kecemasan mengangkat sepanduk tertulis ‘Senyap’ supaya kru boleh mendengar bunyi mangsa terselamat meminta bantuan.

Pesakit dipindahkan dari hospital manakala lapangan terbang antarabangsa ditutup lebih tiga jam.

Di lokasi runtuhan bangunan di daerah Roma, ramai menggeledah puing ketika menunggu jentera berat tiba untuk mengalihkan ketulan konkrit.

Di Puebla, bandar kolonial indah dekat pusat gempa, beberapa gereja rosak dan sebuah lagi ranap, menyebabkan 11 maut, menurut pegawai.

Penduduk yang ketakutan dan mendapati rumah mereka ranap bermalam di tepi jalan atau taman.

Di jalan raya yang sesak dan gelap, penjahat keluar pada waktu malam menyerang pengguna jalan raya.

Pegawai di beberapa negara memberi respons dengan menawarkan bantuan.

Honduras menghantar sepasukan penyelamat dengan 36 anggota.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menyampaikan takziah dalam kenyataan Twitter. — AFP

Advertisement