Anda di sini

Kerajaan salur RM31,440,000 untuk sekolah, badan keagamaan bukan Islam

Advertisement
 Musa (tiga kanan) menyerahkan bantuan geran kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh Masidi (kanan) dan Teo (dua kanan).
PERUNTUKAN: Musa (tiga kanan) menyerahkan bantuan geran kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh Masidi (kanan) dan Teo (dua kanan).

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyalurkan sejumlah RM31,440,000 peruntukan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh negeri.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata, daripada jumlah itu, sejumlah RM14,005,000 disalurkan kepada sekolah persendirian Cina dan mubaligh serta tadika.

Sejumlah RM17,435,000 pula telah disalurkan kepada badan keagamaan bukan Islam seperti gereja, kuil dan tokong.

Daripada jumlah peruntukan kepada badan keagamaan bukan Islam, RM11,870,000 disalurkan kepada gereja, RM5,295,000 kepada tokong Cina dan RM270,000 kepada kuil Hindu dan Sikh,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Sabah kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam 2017 Bahagian Pantai Barat Selatan dan Pedalaman Sabah, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, bagi peruntukan untuk sekolah pula, sekolah persendirian Cina menerima RM3.6 juta, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan RM2.1 juta, Sekolah Rendah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Kebangsaan RM2,030,000 dan jumlah terbesar iaitu RM5,455,000 diperuntukkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Manakala, tadika akan menerima sejumlah RM605,000 sementara sekolah mubaligh persendirian pula menerima RM215,000.

Geran yang diserahkan hari ini akan memberikan manfaat kepada sejumlah 551 rumah ibadat dan juga sekolah di seluruh Sabah.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa kerajaan negeri akan terus membantu badan-badan keagamaan bukan Islam dan sekolah-sekolah sepertimana yang kita telah lakukan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, rekod yang dicatatkan menunjukkan sejak 2014, sejumlah RM188,542,180 geran peruntukan telah disalurkan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam sementara sejumlah RM145,448,019 pula telah diserahkan kepada sekolah-sekolah di negeri ini.

Pada hari ini, kita mulakan penyerahan bantuan geran ini kepada semua wakil sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Pantai Barat Selatan dan Pedalaman Bawah.

Sejumlah RM16,832,000 telah diberikan kepada badan dan sekolah berkaitan di Pantai Barat Selatan, sementara RM1,220,000 telah disalurkan ke kawasan Pedalaman Bawah,” katanya.

Musa juga gembira bahawa peruntukan yang diberikan sebelum ini telah digunakan sepenuhnya bagi tujuan membaiki, meluaskan dan membeli barangan sekolah serta rumah ibadat.

Katanya, kerajaan negeri juga sedar bahawa jumlah yang diberikan itu tidak seperti yang diminta oleh sekolah dan badan keagamaan bukan Islam.

Saya ingin memberikan jaminan di sini bahawa kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam menyalurkan peruntukan ini.

Menerusi pengurusan kewangan yang berhemah, kerajaan negeri mampu meningkatkan jumlah geran peruntukan itu setiap tahun,” katanya.

Katanya, walaupun program sosioekonomi memerlukan dana, kerajaan negeri akan teruskan usaha membantu sekolah.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan perhatian yang serius kepada pembangunan pendidikan dan sentiasa mengurangkan jurang yang wujud di antara bandar dan luar bandar.

Peruntukan yang besar kepada badan-badan keagamaan bukan Islam di negeri ini menunjukkan bahawa kerajaan memberikan komitmen dalam prinsip pegangan kebebasan beragama.

Saya ingin menekankan bahawa isu-isu berkaitan agama tidak timbul di Sabah, justeru janganlah kita terikut-ikut dengan hasutan pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri.

Selama ini, kita di Sabah hidup dalam keadaan aman damai, harmoni, saling hormat-menghormati di antara satu sama lain,” katanya.

Hadir sama di majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang serta tetamu kehormat yang lain.

Advertisement