Anda di sini

Kakitangan awam perlu bersedia

Advertisement

Penggunaan ICT secara ‘awan terbuka’ tingkatkan perkhidmatan kerajaan

 Arifin (tengah) bersama Joseph (kiri) dan tetamu jemputan lain ketika melawat tapak pameran sempena Seminar ICT 2017 Sektor Awam Negeri Sabah Peringkat Jabatan Ketua Menteri.
LAWAT: Arifin (tengah) bersama Joseph (kiri) dan tetamu jemputan lain ketika melawat tapak pameran sempena Seminar ICT 2017 Sektor Awam Negeri Sabah Peringkat Jabatan Ketua Menteri.

KOTA KINABALU: Penggunaan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara ‘awan terbuka’ membawa ruang yang luas untuk penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.

Ia juga sekali gus membuka ruang agar setiap tindakan dan keputusan yang dilaksanakan dipantau, dinilai malah dikritik.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sama ada suka atau tidak, penjawat awam perlu bersedia dan bersabar dalam menyelesaikan masalah serta menyampaikan perkhidmatan kepada pemegang taruh secara berdedikasi.

Kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) banyak membuat transformasi perkhidmatan daripada manual kepada dalam talian (online).

Justeru, penjawat awam tiada lagi alasan untuk tidak menggunakan aplikasi kerajaan negeri memandangkan lebih 90 peratus perkhidmatan dibuat secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Seminar ICT 2017 Sektor Awam Negeri Sabah Peringkat Jabatan Ketua Menteri di sini pada Selasa.

Menurutnya, komitmen JPKN untuk memacu transformasi perkhidmatan awam terbukti dengan wujudnya tiga sistem aplikasi baharu.

Ia termasuklah Sistem Pengurusan Latihan Bersepadu, Sistem e-Tauliah dan Sistem Pengurusan Lesen Tukang Paip/Sesalur.

Penjawat awam juga hendaklah menggunakan kemudahan rangkaian SabahNet secara berintegriti, beretika dan fokus kepada kerja rasmi sahaja.

Jangan leka dan membazir masa dalam menggunakan fasiliti yang disediakan dengan melayari Internet untuk kerja yang sia-sia.

Gunakanlah Internet sebagai medium untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berguna dalam kerja masing-masing,” katanya.

Arifin berkata, perkembangan ICT yang pantas memberi satu petanda semua penjawat awam perlu peka terhadap perkembangan semasa yang sering berubah-ubah.

Sehubungan itu, beliau mahu setiap penjawat awam diberi pendedahan yang luas dengan maklumat terkini tentang perkara berkaitan perkembangan ICT masa kini.

Penganjuran seminar seperti ini berupaya memperlihatkan komitmen JPKN dalam melaksanakan usaha pembudayaan dan pemerkasaan ICT.

Ini semua adalah usaha ke arah mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam negeri bagi merakyatkan perkhidmatan awam,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Kerajaan Negeri Datuk Joseph Guntavid.

Advertisement