Anda di sini

Hujan lebat jejas perjalanan di Mumbai

Advertisement
 Orang ramai meredah jalan yang ditenggelami air setelah hujan lebat di Mumbai, semalam. — Gambar Reuters
BANJIR KILAT: Orang ramai meredah jalan yang ditenggelami air setelah hujan lebat di Mumbai, semalam. — Gambar Reuters

MUMBAI: Hujan yang begitu lebat melanda hab kewangan India buat kali kedua dalam masa beberapa minggu, menyebabkan gangguan besar-besaran di lapangan terbang kedua paling sibuk di negara ini dan memaksa pihak berkuasa untuk menutup sekolah dan kolej.

Hujan monsun yang melanda Mumbai sejak petang kelmarin menangguhkan perkhidmatan dalam rangkaian kereta api pinggir bandar yang banyak digunakan di bandar raya yang menempatkan dua bursa saham terbesar di India dan ibu pejabat beberapa syarikat besar.

Hujan lebat di Mumbai pada bulan lepas mengorbankan 14 orang, memusnahkan kediaman dan mencetuskan huru-hara di bandar raya de-ngan 20 juta penduduk itu.

Penglihatan rendah, ribut kuat dan keadaan licin menyebabkan pesawat penerbangan SpiceJet  melampaui batas landasan ketika ia mendarat pada malam kelmarin.

Syarikat itu berkata kesemua 183 penumpang dalam penerbangan dari kota utara Varanasi selamat, tetapi insiden itu menyebabkan gangguan yang berleluasa dalam trafik udara.

Syarikat penerbangan terbesar di India, Indigo, dan dua syarikat saingan, Jet Airways dan Vistara, berkata mereka membatalkan beberapa penerbangan berulang-alik ke Mumbai akibat keadaan cuaca buruk dan ketiadaan landasan.

Landasan utama sudah ditutup bagi operasi dan kelewatan berlaku kepada ketibaan dan perlepasan pesawat disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak menentu,” kata pegawai di lapangan terbang Mumbai, yang menambah sekurang-kurangnya 50 penerbangan telah dibatalkan.

Walaupun Mumbai cuba membangun diri untuk menjadi sebuah hab kewangan global, beberapa bahagian di bandar raya itu masih menghadapi masalah untuk menangani hujan monsun tahunan.

Pembinaan berterusan di dataran banjir dan kawasan pantai, selain parit air banjir dan saluran yang tersumbat kerana sampah plastik telah mendedahkan lagi bandar raya itu kepada taufan.

Banjir pada 2005 mengorbankan lebih 500 orang di bandar raya itu. Kebanyakan kematian berlaku di kampung setinggan, yang menempatkan lebih separuh daripada populasi di Mumbai.

Menteri pendidikan di negeri barat Maharashtra, Vinod Tawde, dalam satu tweet kelmarin menasihatkan semua sekolah dan kolej di bandar raya itu untuk terus ditutup semalam ekoran ramalan mengenai hujan lebat oleh biro cuaca. — Reuters

Advertisement