Anda di sini

ASAT sedia peluang kepada pelajar tunjuk kemampuan peroleh kejayaan

 Awla (dua kanan) menyempurnakan Majlis Peramsian Karnival Kokurikulum Anugerah Seri Asrama Terbilang 2017 Peringkat Daerah Simunjan.
SIMBOLIK: Awla (dua kanan) menyempurnakan Majlis Peramsian Karnival Kokurikulum Anugerah Seri Asrama Terbilang 2017 Peringkat Daerah Simunjan.

SIMUNJAN: Karnival Kokurikulum Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) 2017 Peringkat Daerah Simunjan  menyediakan peluang kepada pelajar di sini menunjukkan kemampuan dan kebolehan memperoleh kejayaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris berkata selain itu ASAT dapat menyediakan ruang dan peluang kepada warga dan penghuni asrama bersama seterusnya membina jaringan kerjasama ke arah kecemerlangan diri serta asrama.

Saya difahamkan kontinjen daerah Simunjan merupakan kontinjen yang digeruni daerah lain.

Oleh itu, tunjukkan kemampuan serta kebolehan anak-anak supaya kita dapat beroleh kejayaan dan mengharumkan nama daerah Simunjan seterusnya menyertai pertandingan di peringkat negeri nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian ASAT 2017 Peringkat Daerah Simunjan di Sekolah Menengah Kebangsaan Simujan No.1 di sini baru-baru ini.

Awla turut berharap penganjuran program itu dapat meningkatkan lagi semangat persaingan dan menggalakkan kreativiti serta inovasi warga asrama dalam melahirkan penghuni asrama yang cemerlang seterusnya menerapkan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, kerajinan dan semangat setia kawan.

Saya selaku wakil rakyat di daerah Simunjan sentiasa menyokong program dan usaha dilaksanakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan dan sekolah-sekolah dalam daerah ini.

Syabas PPD Simunjan dan semua sekolah arama harian atas usaha ini. Saya difahamkan ASAT tahun ini buat julung kalinya menggabungkan sekolah rendah dan menengah asrama harian,” katanya.

Sebanyak 14 sekolah menyertai pertandingan itu yang bersifat akademik, sukan, kesenian dan kebudayaan.

Hadir sama Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan Awang Ahmad Awang Sadit, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Geoffery Ramji dan Pengetua SMK Simunjan No.1 Khalic Abdul Hamid.