Anda di sini

JKJR berusaha kurangkan 50 peratus kemalangan jalan raya menjelang 2020

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dalam usaha mengurangkan 50 peratus berlakunya kemalangan jalan raya pada 2020 termasuklah Sabah.

Ketua Pengarah JKJR Malaysia Datuk Rosli Isa berkata, ia disebabkan jumlah kemalangan jalan raya masih di tahap yang tinggi.

“Di Sabah sahaja, sebanyak 11,844 kes kemalangan jalan raya direkodkan pada tahun lalu yang mana melibatkan kemalangan maut, cedera parah dan cedera ringan.

“Dan apa yang kita dapat lihat, kemalangan tertinggi direkodkan adalah di kawasan Kota Kinabalu ini sendiri.

“Jika dibandingkan di peringkat nasional, kadar kematian kita setiap tahun agak menurun dalam masa setahun yang mana kira-kira 1,179 kes maut dijalan raya ,” katanya ketika merasmikan Program Sekolah Angkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac dan Sekolah Menengah (SM) St. John Tuaran, di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia berkata, usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Sabah khususnya adalah satu usaha yang berterusan daripada JKJR, Jabatan Pengangutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Oleh kerana Sabah adalah negeri yang sedang membangun dan banyak jalan-jalan baharu akan dibina termasuklah Pan Borneo, tiga jabatan ini akan terus berusaha semata-mata untuk menjaga keselamatan jalan raya di sini.

“Selain itu kita juga mahu mengurangkan nilai aset negara mahupun negeri kerana apabila satu nyawa hilang akibat kemalangan jalan raya seumpanya maka negara akan kehilangan aset sebanyak RM1.2 juta.

“Dalam pada itu kami akan berhubung dengan Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mendapat kerjasama lebih erat bagi melibatkan program-program lebih besar supaya program keselamatan jalan raya ini diadakan di seluruh Sabah,” jelasnya.

Beliau berharap agar kerajaan persekutan dan negeri akan menjalankan kerjasama lebih erat dalam pelbagai kempen keselamatan jalan raya di dalam negara.

“Perkara ini penting kerana ramai orang muda terlibat dengan kemalangan jalan raya dan menyebabkan ramai orang terkorban terutamanya 60 peratus kes kemalangan jalan raya melibatkan motosikal.

“Dan punca kemalangan jalan raya termasuk di Sabah adalah 80 peratus berpunca daripada masalah sikap pengguna jalan raya.

“Dengan program yang melibatkan sekolah ini dilihat salah satu platform untuk mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kalangan belia khususnya,” katanya.

Dalam pada itu, Rosli juga telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk merangka inisiatif pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah.

“Pendidikan Keselamatan Jalan Raya adalah program yang kita buat di mana kita gunakan model dari Australia dan kita ubah untuk jadikan model kebangsaan serta mula diajar di sekolah rendah dan menengah sebagai sisipan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

“Bermula tahun depan, kita akan mula mengajar guru-guru Bahasa Melayu di seluruh Sabah untuk melatih mereka bagaimana mengajar pendidikan ini dalam sisipan Bahasa Melayu.

“Di mana mungkin guru-guru akan mengajar dua waktu modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya supaya pengguna jalan raya terutamanya pelajar semakin mahir dan mungkin dalam pepekeriksaan akan dikeluarkan soalan seumpama ini nanti,” katanya.

Jelasnya Pendidikan Keselamatan Jalan Raya akan bermula pada 2019 bagi sekolah rendah dan disusuli oleh sekolah menengah pada tahun berikutnya.

Turut hadir Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Ir. Datu Jamigul Datu Salin dan Pengarah JPJ Sabah Datuk Mohd Shuhaili Mohd Taufek.

Advertisement