Anda di sini

Hasrul sentap impian Kuching FA ke separuh akhir Piala FAM

Advertisement

KUCHING: Dua jaringan dari penyerang UKM FC, Muhammad Hasrul Nurkholis Hasim menyentap hasrat Kuching FA untuk mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala FAM 2017.


Pemain itu meledak jaringan pada minit ke-25 dan 72 untuk memastikan UKM FC pulang membawa tiga mata berharga dengan menewaskan Kuching FA, 2-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.


Kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mencari gol awal sebaik wisel dibunyikan namun dihambat oleh ketumpulan jentera penyudah.


Begitupun, UKM FC terlebih dahulu memecah kebuntuan apabila Hasrul berjaya menolak masuk bola hasil dari sepakan sudut pada minit ke-25.

Penjaga gol UKM FC, Abdul Gapur Samsudin tangkas menyelamatkan gawang pasukannya dari ancaman penyerang Kuching FA (jersi hijau).
Penjaga gol UKM FC, Abdul Gapur Samsudin tangkas menyelamatkan gawang pasukannya dari ancaman penyerang Kuching FA (jersi hijau).

Skrip tuan rumah tetap sama pada babak kedua dengan segala perancangan mereka untuk mencari jaringan penyamaan serba tidak menjadi.


Situasi itu sekali lagi dimanfaat pasukan pelawat untuk menghukum pertahanan Kuching FA pada minit ke-72, sekali lagi menerusi Hasrul.


Pemain itu bijak meloloskan diri dari kawalan pemain pertahanan Kuching FA sebelum merembat masuk gol kedua.


Hanya pada lewat permainan baharu Kuching FA mula menampakkan kebangkitan dengan melakukan beberapa gerakan berbahaya untuk mengancam kubu lawan.


Peluang terbaik mereka untuk mengurang defisit gol hadir pada minit ke-85 namun rembatan Remenor Pit melambung tinggi melewati palang gol lawan.


Keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan memaksa Kuching FA terpaksa bekerja keras mencari tiga gol pada suku akhir kedua berlangsung 27 September ini di Stadium UKM, Bangi untuk mara ke pusingan seterusnya.

  • oleh
  • Advertisement