SIBU: Seorang buruh dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM4,000 dengan dua orang penjamin hari ini, selepas mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang gadis bawah umur.
Hakim Mahkamah Sesyen, Caroline Bee Manjanil turut memerintahkan tertuduh, 53 tahun, agar tidak menganggu mangsa serta melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan 20 Oktober ini sebagai tarikh bagi pra pengurusan kes.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan jenayah seksual terhadap mangsa yang juga golongan kelainan upaya (OKU) dengan bertindak menyentuh kemaluan, mulut serta buah dada mangsa pada 7 September, 2017, jam lebih kurang 9.30 pagi hingga 11 pagi di Jalan Stadium.
Sementara bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan onani di hadapan mangsa yang berusia 17 tahun pada tarikh, masa dan tempat yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 bagi pertuduhan pertama dan Seksyen 15(c), Akta yang sama bagi pertuduhan kedua.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Zulfadhli Tuah sementara tertuduh tidak diwakili.
