Anda di sini

Sedari peranan pertahan kemerdekaan, pastikan nikmat dikecapi hari ini berterusan

Advertisement
 Azizah (empat kiri) merakamkan gambar kenangan bersama pemain kulintangan.
PERTAHAN TRADISI: Azizah (empat kiri) merakamkan gambar kenangan bersama pemain kulintangan.

BEAUFORT:  Generasi muda masa kini harus menyedari betapa pentingnya peranan mereka dalam mempertahankan kemerdekaan negara daripada sebarang bentuk ancaman mahupun cabaran.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, sebagai pelapis negara pada masa hadapan, mereka wajar mempertahankan negara demi memastikan kenikmatan yang dikecapi hari ini berterusan.

Katanya, generasi muda perlu melihat kepada kemampuan kerajaan khususnya Barisan Nasional (BN) dalam membawa pembangunan yang mapan serta perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh lapisan masyarakat.

Oleh itu, marilah kita terus memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan segala agenda yang dirancang kerajaan dapat dilaksanakan agar Malaysia dapat berdiri seiring dengan negara maju yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Kasih anjuran Pejabat Khidmat Ahli Parlimen (PKAP) Beaufort di Dewan Kampung Limbawang pada Ahad.

Turut hadir, Pegawai Daerah Beaufort Shaid Othman dan Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak serta pegawai-pegawai dari jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Dalam pada itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort menasihati rakyat terutama di kawasan Beaufort supaya tidak mudah terpengaruh dengan isu yang sering dimanipulasi pembangkang dalam meraih simpati.

Katanya, dakwaan sebahagian pembangkang hanyalah untuk menidakkan pembangunan yang dibawa kerajaan BN sedangkan apa yang dinikmati hari ini adalah usaha kerajaan yang mahu memberi kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.

Justeru, beliau mengajak seluruh masyarakat untuk terus bersatu padu dan menyokong kerajaan sedia ada demi memastikan agenda dalam Transformasi Negara 2050 (TN50) mencapai matlamatnya.

Pada majlis itu, terdapat pelbagai tapak pameran yang melibatkan jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan sempena Program Jelajah Kasih anjuran PKAP Beaufort.

Penglibatan jabatan serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan pada majlis itu bertujuan memberi perkhidmatan terus kepada pengunjung serta orang ramai yang hadir.

Turut diadakan persembahan koir oleh anak-anak muda dan deklamasi sajak sebagai tanda kesyukuran atas kemerdekaan yang dikecapi sehingga hari ini.

Advertisement