Anda di sini

Perogol anak dipenjara 30 tahun, 18 sebatan

Advertisement
 Tertuduh dibawa keluar Mahkamah Sesyen Sarikei untuk dihantar ke penjara.
DIPENJARA: Tertuduh dibawa keluar Mahkamah Sesyen Sarikei untuk dihantar ke penjara.

SARIKEI: Mahkamah Sesyen Sarikei menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 18 sebatan ke atas seorang buruh kasar yang mengaku bersalah melakukan sumbang mahram ke atas anak kandungnya.

Buruh kasar berusia 38 tahun itu menghadapi 16 pertuduhan melakukan sumbang mahram ke atas anak kandungnya yang berusia 15 tahun sejak tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Maris Agan memerintahkan tertuduh dihukum 30 tahun penjara bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak dengan 18 sebatan bermula semalam.

Tertuduh sabit kesalahan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.

Pada 6 September lalu, seorang pelajar sebuah sekolah menengah berusia 15 tahun di sini mengadu sakit perut kepada warden asrama dan mendedahkan menjadi mangsa rogol bapa kandungnya.

Berikutan itu, warden asrama terbabit membawa mangsa ke Hospital Sarikei untuk menjalani pemeriksaan.

Sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kes tersebut dan melakukan pemeriksaan ke atas mangsa, pihak hospital terus bertindak menghubungi polis untuk tindakan seterusnya.

Melalui maklumat diperolehi, polis bertindak menahan tertuduh ketika melawat mangsa di Wad Kecemasan Hospital Sarikei, jam 4 petang pada hari sama.

Melalui siasatan dijalankan, polis mendapati tertuduh telah merogol mangsa di sebuah rumah panjang di Sungai Bulat dekat sini sejak tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh ditahan reman pada 7 September lalu dan sebaik sahaja tempoh tahanan reman tamat, tertuduh terus dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan.

Pendakwaan kes tersebut dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Afwah Ismail.   

Advertisement