Anda di sini

Penduduk alu-alukan naik taraf landasan kereta api

Advertisement

TENOM: Bekas calon kawasan Melalap pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Roger Stimin mengalu-alukan langkah kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sejumlah RM101 juta untuk menaik taraf landasan kereta api dari Halogilat-Beaufort ke Tenom.

Ini satu berita gembira bagi penduduk Tenom, Kemabong dan daerah-daerah di pedalaman yang boleh memberi impak baik dalam meningkatkan kedatangan pelancong domestik dan luar negara ke daerah ini,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan merealisasikan hasrat dan niat murni mereka untuk menaik taraf perkhidmatan kereta api termasuk landasan yang pernah mereka janjikan kepada masyarakat di sini dalam beberapa pilihan raya lalu namun belum kesampaian.

Roger mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang dilaporkan oleh akhbar ini baru-baru ini, yang cukup melegakan penduduk persekitaran pedalaman khususnya pengguna perkhidmatan kereta api Tenom ke Beaufort.

Dalam kenyataannya, Pairin berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan itu bagi pelaksanaan tiga projek berkaitan perkhidmatan kereta api di negeri ini merangkumi pembelian tiga Lokomotif Unit Diesel Pelbagai (DMU) yang baharu.

Roger berkata, sebagai orang asal kelahiran daerah ini, sudah tentu dia berbangga apabila perkhidmatan kereta api yang banyak meninggalkan kesan sejarah dinaik taraf.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, jika sekiranya pembelian itu menjadi kenyataan, adalah diharapkan agar aset itu kelak biarlah yang mempunyai kualiti tinggi.

Beliau difahamkan beberapa minggu lalu terdapat kepincangan apabila dikatakan jentera kereta api baharu mengalami kerosakan semasa dalam perjalanan dari Halogilat ke Beaufort.

Selain itu, kereta api itu juga pernah mengalami sedikit masalah teknikal apabila tergelincir dari landasan di kawasan antara Rayoh dan Pangi, yang mana ia juga akan membantut usaha kerajaan mempromosikan kereta api baharu itu sebagai pilihan utama pengguna.

Sekiranya kerajaan dapat memodenkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur dengan berbelanja berbilion ringgit bagi Light Rail Transit (LRT) dan Bus Rapid Transit (BRT) semata-mata untuk keselesaan awam, mengapa di Sabah tidak dapat dilakukan?” katanya.

Sementara itu, mentor Dewan Perniagaan Tionghua Tenom (TCCC) Kapitan Wong Tet Yun berkata, penduduk di kawasan pedalaman turut sependapat bahawa peruntukan besar yang disalurkan kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf perkhidmatan kereta api sudah lama dinanti-nantikan.

Katanya, pengumuman Pairin mengenainya amat bertepatan kerana meskipun ramai yang telah memilih menggunakan jalan raya ke Kota Kinabalu tetapi perkhidmatan kereta api merupakan pilihan utama selepas ia dinaik taraf.

Sejak jalan dibina antara Tenom hingga Kota Kinabalu, saya dan keluarga saya tidak pernah menggunakan perkhidmatan kereta api ke Kota Kinabalu.

Saya sangat berharap projek itu dapat direalisasikan tidak lama lagi dan pelaksanaan kerja dengan pengawasan yang tepat kerana kereta api yang hanya terdapat di Pulau Borneo ini bukan hanya memainkan peranan dalam industri pelancongan tetapi juga dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Wong berkata, kereta api adalah pengangkutan paling murah dan mudah jika ia diurus dengan baik, dan berharap dalam masa terdekat dia bersama kawan-kawannya boleh menggunakan perkhidmatan kereta api sebagai alternatif untuk perjalanan setelah selesai kerja naik tarafnya.

Advertisement