Anda di sini

Paderi tebusan militan Marawi bebas

Advertisement

Empat bulan di tangan pengganas, tentera Filipina kuasai semula Marawi City

 Suganob (dua kiri) mengadakan sidang akhbar bersama Ano (kiri), Lorenzana (dua kanan) dan jurucakap jawatankuasa krisis Marawi Zia Alonto di ibu pejabat tentera di Manila, semalam. — Gambar AFP
SELAMAT: Suganob (dua kiri) mengadakan sidang akhbar bersama Ano (kiri), Lorenzana (dua kanan) dan jurucakap jawatankuasa krisis Marawi Zia Alonto di ibu pejabat tentera di Manila, semalam. — Gambar AFP

MANILA: Seorang paderi Katolik yang diculik penyokong Islamic State (IS) ketika mereka menguasai sebahagian bandar selatan Filipina hampir empat bulan lalu, semalam tersenyum ketika mengumumkan dirinya kuat setelah berjaya melepaskan diri.

Father Teresito Suganob menyeru semua pihak berdoa pada sidang akhbar di ibu pejabat tentera di Manila setelah diselamatkan lewat Sabtu lalu apabila tentera menguasai pusat kawalan militan di dalam sebuah masjid di Marawi City.

Terima kasih dan saya mendoakan anda, semoga Tuhan merahmati anda semua.

Doakan saya, doakan pemulihan saya,” kata Suganob, 51, sambil tersenyum dan melambai kepada wartawan.

Ceria di sebalik pengalaman ngerinya, Suganob yang berjambang lebat tetapi kelihatan sihat walafiat menyatakan: “Saya secara fizikalnya kuat dan tampan. Itu sahaja buat kali ini.”

Ratusan lelaki bersenjata mencetuskan huru-hara di Marawi City, bandar utama Islam di negara majoriti Katolik Filipina, pada 23 Mei lalu dan kemudian menduduki daerah utama dalam apa yang didakwa pihak berkuasa cubaan untuk mewujudkan pangkalan Asia Tenggara bagi IS di Filipina.

Lebih 850 maut dan sebahagian besar Marawi musnah dalam pertempuran berlarutan yang menyaksikan kumpulan tersebut melawan kempen ketenteraan disokong Amerika Syarikat (AS) yang turut melibatkan pengeboman besar-besaran.

Presiden Rodrigo Duterte melaksanakan perintah tentera di seluruh wilayah selatan Mindanao sebagai respons kepada krisis tersebut.

Suganob, paderi kariah di Marawi yang lebih mesra dikenali sebagai Father Chito, ditahan sebagai tebusan bersama kira-kira 13 anggota kariah katedral tempatan pada hari pertama pertempuran.

Militan kemudian menunjukkan video memaparkan mereka merosakkan katedral tersebut dan satu lagi video pada lewat Mei menunjukkan Suganob berdiri dalam runtuhan bangunan di Marawi meminta Duterte mengundurkan tentera dan menghentikan kempen ketenteraan.

Suganob berkata, ketika itu para penyerang menahan 24 ‘tahanan perang’ termasuk guru, tukang kayu dan pembantu rumah, kebanyakannya puak tempatan beragama Kristian.

Kami mahu hidup sehari lagi, malah sebulan lagi,” kata Suganob dalam video tersebut ketika tembakan kedengaran di kejauhan.

Seorang tebusan yang berjaya melepaskan diri kemudian memberitahu pihak berkuasa bahawa Suganob telah dipaksa berkhidmat sebagai tukang masak untuk militan terbabit, menurut jurucakap tentera ketika itu Leftenan Kolonel Jo-ar Herrera pada awal Julai.

Pihak berkuasa berkata, peranan tebusan termasuk membawa makanan dan peluru, mengusung militan yang cedera, mengumpul peluru malah menjadi perisai manusia.

Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana memberitahu wartawan bahawa Suganob dan seorang lagi tebusan, guru sekolah lelaki bernama Acopio, 29, mampu melepaskan diri lewat malam Sabtu ketika militan berundur dari sebuah masjid susulan pertempuran selama beberapa jam.

Ketika kekuatan konfrontasi bersenjata terus memuncak dan memihak kepada pasukan kita, dan ketika teroris sibuk menangkis serangan, anggota kita berpeluang menyelamatkan Father Chito dan Acopio,” jelas Lorenzana.

Lorenzana dan para ketua tentera menggambarkan penguasaan masjid tersebut dan satu lagi bangunan yang digunakan militan sebagai kejayaan penting, sekali gus meramalkan krisis akan berakhir tidak lama lagi.

Penamat sudah hampir, askar kami di lapangan menyatakan kami sudah hampir selesai,” tambah Lorenzana.

Mereka bagaimanapun tidak menafikan masih banyak cabaran perlu dihadapi termasuk bahan letupan buatan sendiri dan terowong rahsia di mana militan menyembunyikan tebusan yang lain.

Di bawah masjid Bato terdapat banyak terowong rumit dan bilik rahsia, jadi apabila kami membersihkan kawasan tersebut kami mendapati tebusan disimpan di sana,” kata ketua tentera Eduardo Ano.

Jurucakap tentera Brigadier jeneral Restituto Padilla berkata, 673 militan, 47 orang awam dan 149 askar telah terbunuh dalam krisis tersebut.

Beliau percaya terdapat 40 hingga 60 tebusan di mana ada di antaranya dipaksa berlawan bersama kira-kira 80 militan. — AFP

Advertisement