Anda di sini

Kerajaan tidak pilih kawasan laksanakan pembangunan

Advertisement

Pembangunan dilaksana berdasarkan keperluan rakyat

 Ronald bersalaman dengan penduduk Kampung Keliaga yang menyambut kedatangan beliau.
IKUT KEPERLUAN: Ronald bersalaman dengan penduduk Kampung Keliaga yang menyambut kedatangan beliau.

BELURAN: Kerajaan tidak memilih dalam melaksanakan pembangunan di sesebuah kawasan sebaliknya ia dilaksanakan berdasarkan keperluan dan keutamaan oleh rakyat.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelaksanaan pembangunan merangkumi semua kawasan di negara ini sama ada di bandar atau luar bandar adalah untuk kesejahteraan semua rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, proses pembangunan merupakan usaha berterusan kerajaan bagi memastikan semua kawasan di negara ini menikmatinya.

Ada kawasan khususnya di luar bandar belum lengkap menikmati pembangunan itu dalam aspek kemudahan asas iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Kerajaan menyedari hakikat masih banyak kawasan memerlukan perhatian dan setiap tahun dalam bajet, peruntukan besar diberikan untuk kawasan luar bandar terutama di negeri ini,” katanya pada Program Jelajah Akar Umbi di Kampung Timpus Paitan di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, Ronald merasmikan Bangunan Komuniti Kampung Timpus dan Pertandingan Sukan Daerah Mengundi Alongei Paitan.

Menurutnya kerajaan mempunyai keupayaan dan rekod baik dalam melaksanakan pembangunan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Sebagai contoh, katanya, di kawasan Parlimen Beluran, sebanyak 72 dewan orang ramai, 27 masjid serta surau dan 15 gereja baharu telah dibina atas permintaan rakyat.

Dalam pada itu, pada program sama di Kampung Keliaga, Ronald berkata dakwaan parti pembangkang bahawa kawasan luar bandar dianaktirikan adalah tidak benar.

Katanya, parti pembangkang hanya pandai bercakap sahaja dan menggunakan isu setempat untuk meraih sokongan rakyat di kawasan berkenaan.

Parti pembangkang menghasut rakyat menggunakan perkara yang kita belum buat tetapi tidak menyentuh perkara kerajaan buat untuk kesejahteraan rakyat.

Mereka hanya muncul menjelang pilihan raya tetapi pemimpin Barisan Nasional bukan pemimpin bermusim dengan sentiasa turun padang mendengar masalah serta keperluan rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Ronald mengumumkan pembinaan sebuah dewan orang ramai di Kampung Keliaga.

Advertisement