Anda di sini

Kadar inflasi Ogos dijangka meningkat kepada 3.8 peratus

Advertisement

KUALA LUMPUR: RAM Ratings menjangkakan kadar inflasi Malaysia pada bulan Ogos 2017 meningkat kepada 3.8 peratus selepas mencatat penurunan selama empat bulan berturut-turut sebelum ini.

Peningkatan ketara pertumbuhan harga pengguna misalnya didorong oleh kenaikan harga runcit minyak mentah yang mencecah paras purata RM2.12/liter pada Ogos (berbanding RM1.96 pada Julai) di tengah-tengah pengukuhan harga minyak mentah global, kata agensi penarafan itu dalam satu kenyataan semalam.

Berikutan itu, ia meningkatkan sumbangan komponen pengangkutan kepada keseluruhan inflasi pada Ogos (2017).

Walaupun komponen makanan dilihat kekal sebagai penyumbang utama inflasi, ia sebaliknya dijangka susut sedikit dan menyamai prestasi pada bulan-bulan sebelum ini berikutan permintaan yang menyederhana selepas musim sambutan Hari Raya,” katanya.

RAM Ratings turut mengekalkan sasaran inflasi bagi 2017 pada paras 3.8 peratus.

Harga pengguna secara keseluruhannya dijangkakan mencatat kadar lebih perlahan pada separuh kedua 2017 memandangkan jangkaan penyederhanaan sumbangan oleh komponen pengangkutan apabila impak asas rendahnya lenyap.

Sejajar dengan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh pertama 2017 yang lebih baik dan potensi inflasi berkaitan permintaan menjadi lebih ketara pada masa depan, kami percaya ada ruang lebih besar bagi kenaikan 25 mata asas dalam dasar kadar semalaman jika momentum pertumbuhan semasa itu terus kekal,” kata agensi penarafan itu.

RAM Ratings berkata sebarang kesan membabitkan pengeluaran minyak adalah penting sebagai trajektori terhadap harga pengguna.

Malah, katanya, pengeluaran dan penawaran yang terjejas di Libya dan Amerika Syarikat pada bulan lepas, berkemungkinan besar akan mempengaruhi harga minyak pada minggu-minggu selepas itu.

Sebarang gangguan bekalan itu berkemungkinan besar memberi kesan terhadap aliran harga pengguna berikutan harga itu yang sememangnya menjejaki harga minyak global,” katanya. — Bernama

Advertisement