Anda di sini

Dua pusat tahfiz di labuan tidak patuhi aspek keselamatan

Advertisement

LABUAN: Dua pusat tahfiz di pulau bebas cukai di sini tidak mematuhi  sepenuhnya standard keperluan keselamatan, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin.

Beliau berkata, beberapa pemeriksaan telah dijalankan di dua pusat berkenaan dan mendapati terdapat susunan pendawaian yang tidak dilakukan dengan betul.

Pihak berkuasa sekolah perlu meningkatkan aspek keselamatan di bangunan dan pihak kami bersedia membantu dan mendidik mereka mengenai keselamatan kebakaran,” katanya kepada Bernama semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan Sabarudin Hassan berkata  pengurusan dua sekolah agama berkenaan – Madrasah Tahfiz Al Quran Sri Merinding (Maahad Tahfiz Merinding) dan Madrasah Tahfiz Al Quran Al Badr – telah diberi peringatan supaya mematuhi standard keperluan keselamatan.

Beliau berkata dua pusat tahfiz itu yang telah beroperasi agak lama tidak didaftarkan dengan JAWI  berikutan tidak memenuhi beberapa keperluan keselamatan.

Kami telah mengeluarkan surat kepada pengurusan sekolah itu supaya pusat tahfiz berkenaan diperiksa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan pada masa ini kami memantau menerusi mesyuarat dan perbincangan berterusan,” katanya.

Sabarudin berkata disebabkan tidak memenuhi keperluan keselamatan, dua pusat tahfiz itu kini beroperasi secara sementara di bawah pendaftaran sementara yang perlu diperbaharui setiap tahun.

Katanya satu lagi pusat tahfiz, Al Ummi yang musnah dalam kebakaran pada 21 Okt 2015, masih beroperasi (tanpa asrama) dan masih belum berdaftar dengan JAWI.

Pada 14 Sept lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak mahu campur tangan dalam pengurusan sekolah tahfiz tetapi menegaskan kerajaan prihatin terhadap kelemahan pengurusan tahfiz dan sekolah agama di negara ini.

Sejak 2011, Jabatan Bomba dan Penyelamat merekodkan 31 sekolah tahfiz dan agama terlibat dalam insiden itu.

Pada Khamis lepas, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara terbakar sehingga mengorbankan 21 pelajar dan dua guru. — Bernama

Advertisement