Anda di sini

Celcom Axiata lancarkan Internet gentian berkelajuan tinggi di Sabah

Advertisement
 Musa (tengah) bersama Michael (tiga, kiri) pada majlis pelancaran ‘Celcom Home Fiber dan Celcom Business Fibre’ semalam. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Musa (tengah) bersama Michael (tiga, kiri) pada majlis pelancaran ‘Celcom Home Fiber dan Celcom Business Fibre’ semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Celcom Axiata Bhd semalam melancarkan dua perkhidmatan Internet gentian berkelajuan tinggi di Sabah iaitu - Celcom Home Fibre dan Celcom Business Fibre.

Perkhidmatan jalur lebar dengan teknologi termoden itu menyediakan sehingga 10 kali kelajuan muat turun tanpa had pada 100 Mbps dengan harga yang berpatutan bagi kediaman dan komuniti perniagaan.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, yang menyempurnakan majlis pelancaran hari ini, mengucapkan  terima kasih dan tahniah kepada Celcom  Axiata berikutan penawaran sambungan Internet yang boleh dipercayai, lancar dan pantas bagi pelanggan di Sabah.

Musa dalam ucapannya, berkata, pelancaran itu memberikan isyarat trend baharu dalam pengalaman digital pelanggan Celcom di Sabah dan berharap syarikat-syarikat telekomunikasi yang lain, akan mencontohi usaha berkenaan dan terus maju seiring dengan teknologi, sambil memperkasakan rakyat Sabah dengan perkhidmatan digital yang terbaik.

Dalam dunia yang amat kompetitif dan berteknologi maju ini, pemain industri akan bersaing dari segi produk, kualiti dan harga. Untuk mencapai pertumbuhan, syarikat mesti berupaya untuk menarik dan memaksimumkan kehendak pelanggan,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Micheal Kuehner berkata, pihak syarikat telah melantik Celcom Timur Sdn Bhd, rakan kongsinya di Sabah, bagi menerajui operasi pengoptimum gentian di negeri itu.

Ia juga bertujuan membangunkan serta menyediakan infrastruktur gentian paling stabil dan sambungan Internet terpantas di seluruh Sabah tidak lama lagi.

Inisiatif ini juga adalah seiring dengan kerjasama dan sejajar dengan agenda kerajaan negeri untuk mewujudkan Bandar Pintar Sabah dan kami mahu memberikan Internet yang lebih pantas dengan harga yang berpatutan kepada semua lapisan masyarakat termasuk penduduk luar bandar.

Kami ingin memastikan pelanggan kami mendapat peluang untuk menjadi sebahagian daripada industri teknologi digital yang semakin berkembang pantas hari ini,” katanya.

Ketua Pegawai Pemasaran Celcom, Zalman Zainal ketika bercakap kepada pemberita, memberitahu Sabah merupakan negeri yang pertama yang melalui pengalaman sambungan Internet gentian berkelajuan tinggi disebabkan permintaan yang tinggi daripada kalangan pengguna di negeri itu.

Katanya, pada masa sekarang, Internet gentian berkelajuan tinggi Celcom untuk kediaman dan perniagaan meliputi enam daerah utama iaitu Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Tawau, Lahad Datu dan Keningau, manakala liputan gentian akan diperluaskan ke lebih banyak bandar di Sabah menjelang akhir tahun ini. — Bernama

Advertisement