Anda di sini

Akademi sasar atasi kekurangan kepakaran dalam eksport

Advertisement

KUALA LUMPUR: Akademi Eksport Malaysia, sebelum ini dikenali sebagai The Exporters’ Club, berharap dapat mengatasi kekurangan kepakaran dalam eksport di negara ini dengan memberi latihan, terutamanya graduan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Dr Abdul  Kabur Ibrahim, berkata akademi tersebut, yang terletak di Puchong, Selangor, ditubuhkan untuk menyediakan subjek berkaitan perdagangan dan eksport.

Beliau berkata kaji selidik yang dijalankan oleh akademi tersebut ke atas 100 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menunjukkan tiada satu daripadanya mempunyai jabatan eksport yang khusus walaupun bagi syarikat yang melakukan eksport.

Kami mempunyai syarikat di mana Ketua Pegawai Eksekutif bekerja di bahagian eksport perniagaan atau seseorang dalam syarikat yang mengendalikan perkara berkaitan eksport dan ini disebabkan mereka tidak dapat mencari orang dengan kepakaran yang sesuai,” katanya.

Memandangkan latihan dan pendidikan eksport tidak diajar di universiti dan kolej, Abdul Kabur berkata, usahawan perlu diberi latihan sebagai persediaan mereka menghadapi cabaran dan persaingan pasaran global.

Malaysia antara negara yang bergantung kepada perdagangan di dunia dan ini adalah bidang yang kita perlu beri keutamaan. Tambahan pula, antara komponen dalam Pelan Induk PKS 2012-2020 adalah eksport.

Program Going Export (GoEx) merupakan antara enam program berimpak tinggi dalam pelan induk tersebut,” katanya.

Beliau berkata terdapat tiga segmen berbeza yang diberi tumpuan oleh akademi itu dari segi penawarannya.

Terdapat kursus pendek bagi golongan yang bekerja, program sijil melalui kerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa serta bimbingan untuk PKS.

Sebahagian daripada kursus pendek itu adalah pembiayaan perdagangan, prosedur Kastam, zon perdagangan bebas dan kemahiran pemasaran eksport,” katanya.

Abdul Kabur berkata akademi itu menawarkan program profesional mengenai pengurusan eksport, perdagangan antarabangsa dan pembiayaan serta penghantaran barang dengan kerjasama rakan kongsi tempatan dan antarabangsa seperti Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Institute of Export UK, Chartered Management Institute of UK, University of York dan University of Switzerland, antara lainnya.

Kami juga mempunyai projek dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera – program Pengeksport Terbaik. Kami menyediakan bimbingan kepada 100 PKS Bumiputera mengenai eksport di mana kami menempatkan penasihat perdagangan kami kepada syarikat dan kilang untuk menunjukkan kepada mereka cara mengendalikan perkara berkaitan eksport,” katanya.

Melihat ke hadapan, Abdul Kabur berkata, akademi itu merancang untuk menubuhkan pusat simulasi eksport untuk pelatih bagi membolehkan mereka mempunyai pengalaman dalam mengendalikan perkara berkaitan eksport. — Bernama

Advertisement