Anda di sini

Penganalisis sambut baik komitmen Malaysia

Advertisement

Dengan meningkatkan hubungan dengan AS, negara itu tidak akan mengambil apa-apa langkah drastik

KUALA LUMPUR: Penganalisis memuji komitmen Malaysia untuk meningkatkan lagi hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) berikutan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Washington DC, baru-baru ini.

 Ini walaupun ekonomi terbesar di dunia itu telah meletakkan Malaysia bersamasama dengan 15 negara lain dalam senarai pemerhatian defisit perdagangannya awal tahun ini.

 Ketua Pakar Ekonomi ASEAN RHB Research Institute Sdn Bhd, Peck Boon Soon berkata Malaysia menduduki tempat ketujuh dalam senarai defisit dagangan dengan lebihan dagangan sebanyak AS$25 bilion dengan AS.

 “Walaupun kita tidak pasti mengenai langkah-langkah seterusnya yang akan mereka ambil terhadap negara-negara yang berkaitan, saya percaya selepas lawatan Najib, AS tidak akan mengambil apaapa langkah drastik terhadap Malaysia,” katanya kepada Bernama.

 Pada April, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan merancang untuk menjalankan siasatan ke atas 16 negara termasuk Malaysia, setelah didakwa menikmati lebihan perdagangan berbanding AS disebabkan oleh perdagangan tidak adil.

 Semasa menolak dakwaan pentadbiran Trump itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata lebihan perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat itu adalah hanya AS$5 bilion, lebih rendah daripada apa yang didakwa oleh ekonomi terbesar dunia itu.

 Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan pula berkata kunjungan itu dapat membantu meningkatkan ketidakseimbangan perdagangan Malaysia, dengan Malaysia membeli lebih banyak produk AS sementara mereka melabur lebih banyak lagi dalam pasaran ekuiti Malaysia.

 “Terdapat lebih banyak pelaburan yang boleh dibuat oleh AS di Malaysia.

 Apabila AS melabur di pasaran kita, jelas ia akan membina keyakinan dalam kalangan syarikat asing lain untuk datang dan melabur di bursa tempatan juga,” katanya.

 Mengulas mengenai rancangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd untuk meningkatkan pelaburan mereka di AS, Peck berkata berita berkenaan bukan suatu yang mengejutkan kerana adalah normal bagi kedua-dua entiti melabur di sana.

 Semasa lawatan kerja ke AS dari 11 hingga 13 September, atas jemputan Trump, Najib mengumumkan rancangan pelaburan oleh KWSP dan Khazanah, dengan KWSP sahaja yang dijangka melabur antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion.

 “KWSP dan Khazanah telah melabur dalam perniagaan yang baik di seluruh dunia.

 Memandangkan lawatan itu berlaku di AS, jadi laporan berita mengetengahkan pelaburan di sana.

 “Malah, mereka melabur di mana-mana tetapi sama ada pelaburan itu akan mendapat pulangan yang baik bergantung kepada penilaian syarikat,” kata Peck.

 Bagi Nazri, langkah KWSP itu merupakan strategi bijak, memandangkan pasaran Malaysia telah tepu dan agak perlahan.

 “KWSP mempunyai dana yang lebih besar sekarang.

 Mereka tidak boleh bergantung kepada pasaran Malaysia semata-mata dan perlu ke pasaran besar seperti AS.

 “Tetapi mereka perlu memastikan apa sahaja pelaburan mereka berada dalam lingkungan kecekapan dan mereka tidak sepatutnya menceburi bidang yang mereka tidak selesa,” katanya.

 Mengenai perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan pengeluar pesawat Amerika Syarikat, Boeing, untuk membeli 16 pesawat, Nazri berkata rancangan itu sejajar dengan program pengembangan MAB.

 Perjanjian itu termasuk pembelian lapan pesawat 787-9 Dreamliners dengan menukarkan lapan pesawat Boeing 737 MAX sedia ada Malaysia Airlines dan tambahan lapan hak pembelian pesawat 737 MAX 8s, serta perkhidmatan Global Fleet Care Boeing untuk mengekalkan pesawat Boeing sedia ada dan masa depan syarikat penerbangan itu.

 “Pesawat 787-9 Dreamliners dianggap sebagai pengembangan masa depan.

 Tanpa pesawat baharu, MAB tidak dapat menambah laluan baharu, terutamanya di pasaran Eropah kerana Boeing 777 yang ada sekarang sudah lama dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

 Peck menyifatkan perjanjian itu sebagai proses perniagaan biasa bagi MAB sekiranya syarikat penerbangan itu mempunyai kedudukan kewangan yang mencukupi untuk terus menaik taraf kapal terbangnya.

 “Kita tidak harus terlalu negatif mengenainya, jika mereka mahu meningkatkan pesawat mereka, mereka boleh memilih sama ada Boeing atau Airbus yang berpangkalan di Perancis,” katanya.

 — Bernama

Advertisement