Anda di sini

Pengawasan dari udara

Advertisement
 

Polis akan guna dron untuk memantau keselamatan awam sempena sambutan Hari Malaysia di Dataran Sibu.

SIBU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan pemantauan menggunakan dron untuk mengawal keselamatan awam sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dataran Sibu, hari ini.

 Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah berkata, pengawasan itu akan dikendalikan oleh Unit Dron PDRM Sibu dan Unit Protokol dan Perhubungan Awam Negeri (UPPAN).

 “Memandangkan ruang udara terhad, hanya polis dan UPPAN sahaja akan mengendalikan pengawasan keselamatan dan pencegahan jenayah menggunakan dron di Dataran Sibu esok (hari ini),” katanya semalam.

 Saiful berkata, dron-dron lain tidak dibenarkan berada di lokasi tersebut sepanjang program diadakan melainkan ada kelulusan daripada pihak polis terlebih dahulu.

 “Penerbangan dron yang tidak mendapat kebenaran akan dikeluarkan dari zon pengawasan polis,” tegasnya.

 Beliau menambah, Inspektor Thanachelam Rajan dari IPD Sibu akan mengetuai Unit Dron PDRM Sibu bersama dua anggota lain dalam mengendalikan pemantauan dari udara kelak.

 Sehubungan itu, Saiful berkata, pihaknya mempunyai petugas yang mencukupi bagi memastikan ketenteraman awam dijaga semasa berlangsung sambutan tersebut.

 “Kita juga dibantu oleh Unit Udara Polis, Pasukan Gerak Am (PGA) selain pasukan polis trafik dan petugas am diperkuatkan dari daerah-daerah lain dalam menjamin keselamatan awam diutamakan sepanjang program peringkat negeri itu dijalankan,” jelasnya.

 Di samping itu, katanya, pihak polis juga akan melakukan pemantauan melalui Bilik Kawalan Menara yang terletak di Wisma Sanyan sebagai memperkukuhkan tugas-tugas pemantauan, pengawasan dan pencegahan jenayah di lokasi sambutan.

Pada tahun ini, Sibu menjadi tuan rumah acara Hari Malaysia Peringkat Negeri yang akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Dato Juma’ani’ Tun Tuanku Bujang dan pemimpin-pemimpin negeri lain.

Acara malam ini akan menyaksikan persembahan patriotik dan hiburan yang diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Penyanyi ‘Rindu Bayangan’ iaitu penyanyi popular, Jay Jay dijangka tampil mengadakan persembahan khas yang bermula jam 7 malam.

Penyanyi-penyanyi tempatan yang turut memeriahkan acara ialah Ricky Andrewson, Iwan Haji Dasri, Mal Imran, Nurul Shida, Kaderi Awang Lihi dan Dayangku Fadzillah.

Juga membuat penampilan ialah artis Cina yang terkenal Chiew Mei Mei dan Ling Sing Kiong dan akan disertai oleh D’Cipta Band.

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh tersebut pada tahun 1963.

Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu dan Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Bagaimanpun, Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada 1965.

  • oleh
  • Advertisement